
Hati yang 'baru'. Blog ini?

Mereka yang menghairankan
Salam
Berbuka puasa di Markaz Aitam
Salam
'Majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Markaz Aitam. 2 September 2009, jam 6.00 petang. Sesiapa yang berminat boleh beri nama kepada ....(PECI). Penyertaan hanyalah untuk 22 peserta sahaja.'
Begitulah lebih kurangnya mesej yang diterima dalam ym saya. Memandangkan sudah hampir setahun tidak melawat Markaz Aitam, saya mengambil keputusan untuk turut sama dalam majlis tersebut.
Markaz Aitam
Markaz Aitam merupakan tempat penjagaan anak-anak yatim. Markaz yang terletak di Mukhayyam Irbid ini, dibina dan beroperasi untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim, oleh 'ahlul kheir'. Di sini mereka diberi kemudahan sepertimana kanak-kanak lain; akademik, ilmu hadis, menghafaz alQuran dan lain-lain.
Hubungkaitnya Markaz Aitam dan pelajar Malaysia di sini? Alhamdulillah, dengan rezeki yang melimpah yang dikurniakan oleh ALLAH, sebahagiannya disalurkan oleh pelajar-pelajar Malaysia untuk kebajikan anak-anak yatim di sini. Dengan peruntukan lebih kurang 30 dinar bagi seorang anak yatim (kalau tak silap saya), pelajar-pelajar Malaysia dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan yang memberi sumbangan cukup untuk menampung seorang anak yatim, dan ada yang lebih.
Memulakan perjalanan
Agak menyedihkan. Patutlah Presiden PERMAI sesi ini cukup menekankan bab masa. Menepati masa. Melabelkan orang yang tidak menepati masa sebagai PENGKHIANAT MASA. Disebabkan kelewatan kita, maka majlis bermula lewat. Sebab kita, masa mereka yang datang tepat pada masanya terbazir begitu sahaja menunggu kita. Mereka pula yang menjadi mangsa.
Coaster yang akan membawa kami ke sana pula sudah sampai jam 6.00 petang lagi, dan kami juga akan bertolak jam 6.00 petang sepatutnya. Kerana kita menjadi pengkhianat masa, coaster terpaksa menunggu selama setengah jam. Kesian Abu Khalil. Ape la yang difikirkan tentang melayu. Kita sesuka hati melabelkan arab tidak menepati masa. Memang hakikat ini tidak dapat dinafikan. Tetapi cermin-cerminlah diri kita. Benarkah kita bercakap dan bertindak dengan rasional atau cuma penuh emosi?
Markaz
Alhamdulillah, segalanya begitu menyeronokkan. Berjumpa dengan adik-adik, makan bersama. Kami berbuka dengan kurma, kemudian solat. Selepas itu baru makan nasi. Sedap rasanya nasi tersebut. Tambah pula berkat makan beramai-ramai.
Selesai makan, kami dijemput duduk di dalam dewan. Saya sangkakan ada ceramah ringkas, tapi sebenarnya ada sedikit game. Part ni paling menyeronokkan, tengok gelagat pelajar Malaysia main game dengan anak-anak yatim kat sini. Nama game tersebut, 'Salatoh', maksudnya, sayur campur. Game yang simple, tetapi cukup menarik dan menghiburkan. Macam mana game tersebut? Hmm...

Selepas itu ada satu lagi slot game. Meniru aksi. Game yang memerlukan kecekapan otak dan anggota badan. Hubung kait antara otak dan pergerakan. Alhamdulillah, hasil daripada game ni...la tahzan. Dapat sebuah buku 'La Tahzan', setelah saya berjaya meniru aksi instructor game tersebut.
Alhamdulillah, hari yang menyeronokkan. Keakraban pelajar Malaysia dengan anak-anak yatim dapat dirasakan. Ada pujian yang dilontarkan menyatakan mantapnya majlis berbuka pada kali ini. Credit to Anas yang comel.
Virus yang menguatkan
Saya tersenyum. Betul juga apa yang Professor Ziad cakap ni. Tapi tu kalau tak mati... kalau mati?
"If the virus didn't kill you, then you will develop antibody against it. Musy heik? And if the same antigen enters your body again, the antibody will recognize it, and you will not get the same infection."
Aa... Baru nampak. Saya tersenyum lagi. Hehe.
Betullah apa yang dikhabarkan oleh Prof. Ziad, professor subjek Immunology kami untuk semester soifi ni.
Dah berbulan lamanya tidak mengupdate blog. Sibuk? Entahlah. Mungkin imtihan, mungkin 2nd year. Tapi kelemahan diri sendiri tidak dapat dinafikan.
Undilah dia...
Salam
Tidak subur pohon yang sakit.
Kita dalam rangka membina aqidah yang salim (sejahtera), sebagai salah satu ciri individu muslim. Betapa pentingnya kesejahteraan aqidah, sehingga diperuntukkan dakwah Rasulullah SAW selama 13 tahun. Lebih daripada separuh tempoh dakwah baginda SAW di Mekah dan Madinah.
Hasilnya hati-hati yang mudah menerima pensyariatan. Tatkala diturunkan perintah supaya meninggalkan meminum arak, botol-botol arak dipecahkan. Tiada yang menipu diri sendiri dengan yang kononnya hak asasi ketika umat Islam diajarkan pecahan pembahagian pusaka. Juga kepatuhan wanita tatkala diperintahkan melabuhkan tudung. Semuanya hasil dari iman yang mantap, mengenal Tuhan dan mengerti hikmah dalam suruhan dan laranganNYA.
Hati-hati inilah yang kita mahukan. PERMAI perlukan. Hati-hati yang kamu mahu supaya memenuhi program, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya memberi komitmen meninggikan nama PERMAI, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya memaksimumkan potensi, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya mempermaikan PERMAI, maka hati-hati inilah.
Hati yang mengenal Tuhan.
Maka apakah keutamaan yang perlu dipandang serius dan disegerakan oleh pemimpin? Dasar. Akar dalam Islam adalah aqidah. Andai akar ini sihat dan kuat, maka hasilnya pastilah merefleksikan yang seiring.
Akan tetapi, andai akar ini tidak sihat, maka taburlah baja apa sekalipun; baja mengantarabangsakan ahli dan persatuan, baja anti-ikhtilat dan sebagainya, sia-sia. Membazir masa, wang dan tenaga. Tidak subur pohon yang sakit.
Maka dengarlah harapan kami wahai pemimpin, kerana kamu bertanggungjawab ke atas kepimpinan kamu. Ke atas kami. Bimbinglah kami ke syurga bersamamu, dengan kuasa yang kau peroleh, dengan cara yang kau gerakkan. Dengan akalmu yang bijak. Dengan lisanmu yang petah. Antarabangsa mahupun setempat, besar mahupun kecil, ramai mahupun sedikit, ke syurga jua hujung jatuh harapan terakhir.
59 tahun lalu...
59 tahun lalu...seorang gadis akan dibawa ke Belanda, dan akan dimurtadkan.
9 Julai 2009. Bertha Hertogh, atau Natrah, meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat leukemia.
Ya ALLAH, menyayat hati membaca kisah berusia lebih 50 tahun ini. Demi menyelamatkan AQIDAH seorang gadis Belanda, dan demi maruah Islam, masyarakat ISLAM berkumpul melakukan rusuhan. Keputusan dijatuhkan mahkamah, bahawa mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Natrah ketika itu baru berusia 13 tahun.
Mulanya...
Natrah diserahkan kepada Che Aminah, peniaga kain di Jawa yang berasal dari Terengganu ketika berumur 5 tahun oleh ibu dan neneknya kerana bimbang akan keselamatannya. Ayahnya sewaktu itu berada dalam tahanan Jepun, tidak mengetahui tentang perkara ini.
Namun, setelah ayahnya dibebaskan, dia mencari kembali anaknya, dan akhirnya dijumpai. Setelah beberapa kali perbicaraan mahkamah, akhirnya kemenangan berpihak kepada ayahnya, berpandukan undang-undang Belanda yang dinyatakan di atas.
Apakan daya Che Aminah. Anak yang dijaganya sejak berusia 5 tahun, diasuh dalam suasana agama, akan diambil kembali daripada jagaannya. Untuk dimurtadkan! Pasti luluh hati ibu yang sarat dengan rasa cinta ini.
Betapa umat Islam bersatu, mempertahankan 1 jiwa daripada dimurtadkan. Mempertahankan maruah Islam dari dipijak-pijak. Rusuhan membawa kepada terkorbannya beberapa Muslim, dan ratusan lagi cedera.
Ini kisah lebih 50 tahun lalu. Kisah kesatuan umat Islam. Kisah sensitiviti umat Islam. Kisah cinta Che Aminah, Mansor Adabi dan masyarakat Muslim.
Di mana kesatuan umat Islam hari ini? Dan murtad, suatu isu semasakah?
~ Artikel ini hanyalah suatu ringkasan dari pandangan penulis, kronologi hidup Natrah boleh dilihat di sini , dan ulasan lebih menarik di sini; berita harian, 1, 2, 3, 4 dan 5 (pengajaran). (ALLAH sahaja yang mengetahui kesahihan dan segala yang tersirat)
Memori Turki 1
Turki dalam ingatan
Salam
Pengembala biri-biri masih setia di tengah tanah yang tandus, di bawah terik matahari musim soifi. Alah bisa tegal biasa.
Alhamdulillah, sudah lebih 10 hari semangat untuk menulis kembali diseru, hari ini datang jgk bertamu. Semoga kunjungannya lama, kerana banyak yang ingin dikongsi bersama.
Rentetan dari kembara sufi. Alhamdulillah, kembara kali ini agak menjadi. Suatu ruang penyucian jiwa dibuka, untuk digali kembali 'sufi' dalam diri ini.
Mulanya saya berasa kecewa, kerana terlepas peluang mengikuti rombongan mengerjakan umrah untuk tahun ini. Tak sempat daftar, dah penuh kuota.
Menyedari kemungkinan masa cuti gagal terisi dengan baik di Irbid, saya mengikuti rancangan seorang rakan yang mahu ke Turki, menemani rakannya dari Mesir yang datang melawat. Alhamdulillah, kembara kali ini tidak sia-sia dan tidak dipersia-siakan.
Kami bertolak selepas solat jumaat 19hb Jun baru-baru ini. Kembara selama 9 hari 9 malam, bersama syarikat HZ Tours. Lebih kurang 3 hari perjalanan menaiki bas, 2 hari setengah di Istanbul, dan selebihnya di Konya, Kapadokya (Cappadocia), beberapa tempat lain dan semalaman di Syria.
Banyak perkara baru yang dapat kami lihat, pengalaman kami kutip; tarian sufi Darwish, masjid-masjid yang hebat degan zaman pemerintahan khilafah islamiyyah, juga masjid sahabat yang agung. Bukti-bukti kekuasaan ALLAH SWT yang unik dan hebat. Tukang kayu yang membenarkan risalah kenabian dan banyak lagi.
Nasihat sahabat baik selalu diingati. "Di, nanti pergi Turki, balik biar ada yang dapat dikongsi." Dikongsi. Saya kenal benar akan orangnya. 'Dikongsi' bukanlah ditujukan pada hadiah mahupun cenderamata, tetapi pada yang lebih utama. Pengalaman dan ibrah. Alhamdulillah, nasihat inilah yang mencengkam hati saya, mengikatnya agar tidak leka bergembira sepanjang rehlah ini.
Dan sesuatu yang pelik juga. Sepanjang hari-hari saya di sana, ingatan ini tidak pernah lari daripada memikirkan dan mengingati seorang sahabat baik nun di Malaysia. Petak fikiran saya banyak ruang yang terisi oleh ingatan padanya. Sufi. Mengimbau dan menghalusi peribadinya, untuk diserapkan dalam diri. Semoga indah akhlak dan adabnya melekat pada saya.
Rehlah ini juga banyak mengajar serta me'refresh'kan diri saya. Jaga adab dengan ALLAH, dengan manusia, mengasihi sesama manusia, menghormati hak orang lain, menghargai perjuangan umat Islam terdahulu, mensyukuri kepelbagaian alam ciptaan ALLAH. Semoga setiapnya, menambah kecintaan dan keimanan kepadaNYA, menghapus dosa dan kegelapan yang menyelubungi hati.
Kepulangan kami dari Turki bersama lambaian gule-gule. Gule-gule. Manis. Hehe. Gule-gule ni dalam bahasa Turki, maknanya selamat jalan.
~ Kepada sahabat ana, moga dapat informkan perkembangan projek alumni. Dan harap dapat balas email dan mesej ana, runsing bila tak dibalas, bimbang memikirkan ada apa-apa yang tak diingini menimpa empunya diri.
Kembara Sufi
Perginya seorang pejuang...
Perginya seorang pejuang, menghadap Tuhan dengan jasa yang banyak untuk Islam... bagaimana dengan kita?
Menjadi kaya...
Salam
Terkenangku pada RamadhanMU 2
Terkenangku pada RamadhanMU
Ustaz, Encik atau Protaz
Salam. Maaf tak sempat update blog. Tengah runsing nak final exam. 'Ala kulli hal, jom baca artikel ni.
Sumber: Ustaz, Encik atau Protaz
“Nak panggil encik ke ustaz?”
Saya terkejut. Ada juga pertanyaan semacam itu.
“Panggil apa-apa sahajalah,” jawab saya ringkas.
“Tak boleh begitu…”
“Mengapa?
“Ustaz itu yang orang yang mempunyai latar belakang agama,” balasnya.
“Latar belakang agama?” tanya saya lagi.
Kalau sekadar berlatar belakangkan agama, semua kita memilikinya. Kita orang Islam. Bisik hati saya.
“Kalau ada kelulusan agama, bolehlah kita dipanggil ustaz,” jelasnya lagi.
Saya senyum. Dia semacam begitu naif. Tetapi benarkah begitu?
“Kalau begitu saya bukan ustaz. Saya encik,” jawab saya akhirnya.
“Tapi kenapa encik selalu cakap tentang agama?’
Saya akui kuliah, tulisan atau sajak-sajak yang saya tulis mempunyai “suara” dan “bau” agama. Islam agama saya, salahkah saya bercakap dengan agama saya? Begitu suara hati saya. Tetapi saya pendamkan sahaja. Bimbang kalau-kalau nanti disalah ertikan atau terkasar bahasanya.
“Kenapa… kalau bukan ustaz tidak boleh bercakap tentang agama?”
“Saya dengar begitulah. Tidak autentik. Tidak ada autoriti,” jawabnya terus terang.
“Kenapa begitu ya?”
“Ya lah, kalau kita bercakap agama tetapi tanpa nas dan dalil kita mungkin mengelirukan orang lain.”
“Walaupun sekadar mengajak untuk mengerjakan kebaikan. Contohnya, nak mengajak orang solat, berakhlak baik, rajin bekerja, tinggalkan mengumpat… perlu dalil juga?”
“Mestilah. Bukankah halal dan haram itu pasti ada nas dan dalilnya?”
Saya benar-benar terkejut dengan kefasihan dan kelancarannya berhujah. Dia bukan sebarang. Kelihatan naif, tetapi sebenarnya tajam dan licik gaya berfikirnya.
“Benar, semua itu ada nas dan dalil… tetapi semua orang sedia maklum akan haram atau halanya. Contohnya, majoriti sudah tahu solat itu wajib, mengumpat itu haram. Nas dan dalil bukan masalah utama di sini.”
“Masalahnya apa?”
“Masalah kita bukan tidak tahu wajib atau haramnya sesuatu itu…tetapi kita tidak mahu melakukannya. Tahu solat wajib, tetapi malas melakukannya. Tahu mengumpat itu haram, tetapi suka melakukannya.”
“Kalau itu masalahnya, bagaimana kita hendak menanganinya?”
“Ustaz lebih tahu!” balas saya tiba-tiba. Dia terkejut dengan panggilan saya. Sejak tadi saya hanya memanggilnya dengan panggilan “saudara”. Tetapi sekarang hati saya cenderung merasakan bahawa dia memang seorang ustaz (berkelulusan agama).
“Ya, ya… saya seorang ustaz.”
“Alhamdulillah, kalau begitu soalan tadi saya kembalikan kepada ustaz. Ustaz tentu lebih arif,” kata saya. Memang saya mengharapkan jawapan dan panduan daripadanya.
“Semua pihak perlu memainkan peranan. Kita mesti menyeru dan mendidik masyarakat,” jawabnya setelah diam sejenak.
“Termasuklah saya yang “encik” ini kan?” kilas saya perlahan.
Dia mengangguk.
“Benar kata ustaz… Encik cara encik, ustaz cara ustaz. Saya hanya mampu menyeru, berdakwah dan mengingatkan. Sepatah yang saya tahu, sepatah yang saya sampaikan.” “Sampaikan daripada ku walau sepotong ayat… Begitu kita dianjurkan oleh Rasulullah SAW,” ujar ustaz mengeluarkan nas.
“Kalau begitu, encik sudah jadi seorang dai, seorang pendakwah,” tambahnya lagi.
“Ya, kita umat dakwah. Menyeru kepada kebaikan dan mencegah dari kemungkaran dengan kemampuan kita.”
“Dengan kuasa, lidah atau sekadar benci dengan hati!” balas ustaz.
“Betul ustaz.”
“Tapi saya khuatir ramai yang menyamar jadi ustaz sekarang ni. Tidak ada kelulusan agama tetapi merasakan diri layak untuk digelar ustaz,” ustaz itu menyuarakan kebimbangannya.
“Kelulusan yang bagaimana?”
“Ya lah, mesti ada PHD, MA, BA atau setidak-tidaknya diploma dalam bidang agama daripada universiti dalam atau luar negara.”
“Kalau setakat tamat pengajian pondok, boleh dipanggil ustaz?”saya bertanya.
Ustaz itu termenung. Berfikir agaknya.
Dalam ruang ingatan saya terbayang “ustaz Z” – guru yang mengajar saya sewaktu kanak-kanak dahulu. Pada akhir tahun 60’an ustaz Z mengajar saya tentang tauhid, fikah dan akhlak. Dia berserban dan bergamis putih. Ustaz Z hanya belajar sekolah pondok (begitu pengakuannya pada saya). Namun saya kagum dengan kegigihannya. Kesungguhannya mengajar anak desa dengan ganjaran paling minima ketika itu sangat saya hargai. Dan diantara yang “luar biasa” tentang ustaz Z itu ialah dialah satu-satunya ahli agama yang rela dipanggil ustaz!
Mungkin generasi sekarang terkejut dengan kenyataan saya. Tetapi itulah hakikatnya. Pada zaman Pop Ye Ye , The Beetle , kemudian menyusul budaya hippies dan woodstock pada waktu itu kehidupan beragama memang tercabar. Menutup aurat (sekadar dengan tudung pendek) itu pun sudah dianggap asing. Dan pada waktu itu ramai ustaz-ustaz (maksudnya orang yang berkelulusan agama) yang malu kalau dipanggil ustaz. Pengalaman saya sendiri berdepan dengan ustaz yang mahu dipanggil ustaz hanya di kawasan sekolah! Jangan di tempat awam.
Namun sekarang ustaz-ustaz sudah naik “harganya”. Malah sudah ada “glamour”. Sudah ada rancangan TV yang popular sama ada yang dihoskan oleh ustaz atau secara langsung dinamakan dengan tanyalah ustaz. Tidak hairan jika kini ramai ustaz yang mahu dipanggil ustaz dan bukan ustaz pun yang mahu dipanggil ustaz. Di sinilah mungkin terjadi persaingan, kekeliruan, eksploitasi, obsesi dan sebagainya. Kalau dulu keikhlasan para ustaz diuji cara begitu, kini keikhlasan itu teruji dengan cara yang lain.
“Saya cadangkan encik jadi Protaz,” tiba-tiba ustaz itu bersuara. Saya terkejut dalam lamunan atas imbauan lampau yang panjang.
“Protaz?”
“Profesional ustaz. Maksudnya, dia mungkin doktor, jurutera, korporat, malah pilot atau lain-lain golongan profesional tetapi mempunyai pengetahuan agama yang tinggi.”
“Mempunyai pengetahuan agama yang tinggi atau mempunyai kelulusan agama yang tinggi?”
Kali ini ustaz itu benar-benar berteleku. Dahinya berkerut.
“Saya tak faham. Benar-benar saya tak faham, apa maksud encik?”
“Begini ustaz, ada seorang sahabat saya, seorang akauntan tetapi pengetahuan agamanya tinggi. Hasil dia belajar di masjid, surau atau kelas-kelas pengajian yang tidak formal. Saya dapati tajwidnya fasih, tafsirnya juga mantap, tetapi kalau diikutkan piawaian tadi dia masih dalam kategori encik, bukan ustaz…. Sekarang boleh dia dipanggil Protaz?”
“Bolehlah…” jawab ustaz itu perlahan.
“Bagaimana dengan autoriti diri dan autentik ilmunya?”
“Wah, pening saya,” akui ustaz itu.
“Maaf, sampai ke tahap ini pula perbualan kita. Jika dilanjutkan nanti saya pasti akan melarat-larat kepada takrif ulama, alim, profesional dan lain-lain pula nanti,” ujar saya.
Kami pun berjabat tangan tanda perpisahan.
“Terima kasih ustaz.”
“Terima kasih encik,” balasnya.
Saya masih ingat betapa hebatnya “muzakarah” yang menghampiri medan “mujadalah” antara beberapa cendekiawan dalam majlis forum yang pernah saya hadiri beberapa tahun yang lalu.
“Ulama itu orang yang faham segala ilmu teras dan ilmu alat dalam bidang agama secara terperinci!”
“Ulama itu orang yang takut kepada Allah. Kalau ilmu setinggi langit sekalipun, tetapi tidak ada rasa takutkan Allah, orang itu bukan ulama, ” bidas seorang lagi.
“Apakah tukang sapu yang hanya tahu asas-asas fardu Ain tetapi sangat takutkan Allah, boleh dipanggil ulama?” tanya seorang yang lain.
“Mampukah orang yang hanya ada asas-asas fardu Ain takutkan Allah?”
“Eh, jangan lupa… kisah budak gembala kambing yang diuji oleh Sayidina Umar agar menjualkan kambing tuannya lalu dia menjawab, kalau begitu di mana Allah? Apakah anda hendak nafikan yang budak itu adalah ulama?”
Itulah serang dan tangkis yang saya dengar daripada mulut para ilmuan dan tokoh suatu ketika dahulu. Saya yang “encik” ini akhirnya mengambil sikap tidak mahu campur perkara yang di atas. Saya tidak layak. Namun, sebagai seorang Islam kita tetap terpanggil untuk membuat kebaikan… lalu saya turun ke bawah. Saya tidak banyak tahu jika dibandingkan dengan orang di atas. Tetapi bila saya lihat “di bawah” saya insaf, ilmu saya masih “terlalu” banyak bila dibandingkan dengan kewajipan menyampaikan. Terlalu banyak ayat-ayat yang belum saya sampaikan.
Ah, kekadang (dan sejak akhir-akhir ini sering) saya biarkan sahaja persoalan yang rumit dan kusut. Yang bukan taraf diri dan tahap ilmu saya untuk mengungkainya. Namun entah mengapa sejak akhir-akhir ini, pertikaian, kekhilafan dan perbezaan yang sudah lama disimpan dalam “sampul” sikap lapang dada dan adab ulama silam kini seolah-olah dibongkar kembali. Mungkin ada kewajarannya… kata mereka, kini orang semakin bijak. Dunia semakin terbuka. Namun, sikap berhati-hati dan paling penting – keikhlasan kepada Allah SWT, perlu diutamakan. Ya, mungkin orang sekarang semakin bijak, tetapi hubaya-hubaya kalau hati semakin rosak!
Mudah-mudahan peti khazanah ilmu silam yang beragam dan bermacam itu akan menyerakkan sejuta keharuman bila dibuka kembali dengan hati yang luhur. Dan tidak menjadi seperti “kotak pandora” yang meyebarkan fitnah dan kecelaruan bila dibuka dengan hati yang takbur . Ya, semoga semua pihak, tidak kira ulama, ustaz, alim, protaz, profesional atau sekadar “encik” sama-sama memainkan peranan menegakkan agama. Setiap orang Islam mesti memperjuangkan Islam!
Menoleh ke belakang
Salam
"Budak tu tak boleh harap. Pemalas. Kerja tak jadi je. Nak harapkan pejuang daripada dia? Huh, jauh sekali. Nak suruh belajar pun susah. Pejuang apa tak pandai jaga amanah?" Pedas. Macam-macam kata-kata yang dilemparkan. Sehingga si budak yang semakin lembut hatinya untuk berubah, menoleh semula ke belakang. Segan, malu, bimbang, takut.
Alhamdulillah, baru lepas mengemaskini blog, meniti artikel-artikel lalu. Rupa-rupanya, modus operandi sekarang berbanding dulu sudah agak terpesong. Tapi tak mengapa, kerana matlamat kedua-duanya tetap sama insyaALLAH.
Alhamdulillah, result exam CVS dah keluar. CardioVascular System. Exam yang paling menakutkan setakat ini, dengan markah teori yang para mahasiswa rata-ratanya merosot. Tapi lepas dicampur dengan markah lab yang baru keluar, alhamdulillah. Dah ada yang kembali tersenyum selepas bermuram beberapa hari.
Manusia
Manusia memang makhluk ciptaan ALLAH yang unik. Macam-macam cara mereka mengolah sesuatu, berdasarkan fahaman dan prinsip masing-masing. Jika dikatakan A itu indah, maka tidak mustahil ada yang akan mengatakan sebaliknya. Hakikatnya, kedua-dua pendapat perlu berpijak pada hujah yang nyata, supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan umat Islam disebabkan kejahilan dan lemahnya toleransi sebilangan pihak.
Budak
Ada yang mempunyai masa silam yang indah, yang sentiasa menjadi memori indah untuk dikenang. Belajar di sekolah agama, mempunyai sahabat-sahabat beragama yang banyak membantu, hidup dalam suasana dan keluarga yang berpegang pada ajaran agama. Alhamdulillah.
Namun, tidak semuanya bernasib baik, dan tidak semuanya juga yang memilih untuk mempunyai nasib yang baik, kerana kejahilan diri dari mengenal Tuhan dan agama. Lantas, peristiwa masa lalu, terus menjadi kabus masa sekarang.
Berputarnya roda, turun naiknya kita, juga sering membawa kita kepada kesilapan yang tidak sepatutnya dilakukan, sekalipun kita adalah golongan yang telah mengenal Tuhan semenjak dari awal lagi.
Seringkali, kita teringat akan kesilapan-kesilapan yang lalu, lantas itu menjadi alasan untuk kita tidak berubah. "Aku dari dulu lagi dah macam ni", "Semua orang tahu aku ni jahat, kalau aku berubah pun orang tetap mengata jugak". "Aku segan nak jadi baik balik, banyak halangan."
Kisah silam menjadi penghalang untuk kita berubah. Takut dikritik orang sekeliling, takut kita gagal menerima kita yang baru.
Sedangkan ALLAH SWT berfirman (mafhumnya);
"Jika kamu berbuat baik (bererti) kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri ..." (Al-Israa':7)
"Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barang siapa memaafkan dan berbuat baik(kepada orang yang berbuat jahat kepadanya) maka pahalanya atas (tanggungan) ALLAH. Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang zalim." (Asy-Syuura:40)
Kita mengecop diri kita sebagai seadanya, lantas meletakkan noktah pada titik perubahan. Bimbang pada diri sendiri. Takut pada diri sendiri. Tidak mahu berubah menjadi yang lebih baik, dek bimbang, tertanya-tanya, wujudkah aku yang baik?
Mafhum firman ALLAH SWT,
"Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hamba-Nya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan"(Asy-Syuura:25)
Berlapang dadalah, maafkan teman-teman, masyarakat yang tidak sedar akan potensi kita. Mereka cuma mahukan kita yang terbaik, cuma mungkin cara mereka tidak kena dengan selera kita.
Islam tidak mengajar kita menoleh ke belakang supaya kita takut untuk berubah. Islam membuka ruang seluas-luasnya untuk kita berubah.
Bahkan Islam menganjurkan kita menoleh ke belakang, untuk kita kutip iktibar dari kisah nabi-nabi dan rasul-rasul terdahulu, kisah umat-umat terdahulu, supaya kita menjadi lebih baik. Supaya kita menjadikan yang baik sebagai teladan, dan yang buruk sebagai sempadan.
Berhentilah dari memandang jalan berliku di belakang, kerana semuanya telah menjadi sejarah yang tidak boleh diulang lagi. Kembalilah kepada ALLAH. Dan pandanglah pada jalan di hadapan yang begitu indah, tersedia untuk kita yang mahu berubah.
Meletup!
Salam
Tengah sibuk menaip pos semalam, tiba-tiba "POM!!!". Meletup. Siap keluar cahaya merah lagi belakang laptop saya. Elektrik pun terputus sama. Kaget sekejap. Laptop baru ni. Nanti kena lecture dengan family pula kalau jadi apa-apa.
Saya bangun dan cuba menyiasat apa masalah yang menyebabkan bekalan elektrik terputus. Suis utama. Alhamdulillah, lepas tu bekalan elektrik tersambung kembali.
Apa lagi, saya terus buka laptop, nak sambung taip post yang tergendala tadi. Alhamdulillah, laptop tak ada masalah. Tapi kemudian, baru buka laptop beberapa minit, letupan kedua pula berlaku. Aduhhh laptop lagi yang meletup. Ya ALLAH, hati dah takut dah. Bimbang jadi apa-apa kat laptop ni. Terus saya cabut plug. Dah tak berani lagi dah nak sambung blogging. Sayang juga kat laptop ni.
Difikir-fikirkan balik, silap saya juga. Sepatutnya saya pasangkan regulator sama, nak kawal power supply. Dah laptop tak tutup berhari-hari, regulator pun tak pasang, memang mengamuk la dia. Manusia pun, ada had dalam menahan sabar.
Kadang-kadang, manusia pun akan 'meletup' juga. Apabila sabarnya sudah di penghujung. Apabila rasa tidak puas hati menguasai diri. Apabila pelbagai tekanan menghujani. Apabila kehendak tidak dipenuhi. Gagal dengan ujian Ilahi.
Lantas, mulailah manusia bertindak bodoh, di luar batasan rasional. Ada yang mengamuk, agresif. Marah-marah dan maki hamun. Ada yang bergaduh sesama saudara. Ada yang menyendiri menyembunyikan diri. Bermacam-macam perkara yang mendatangkan aib diri dan dikesali apabila rasionalnya kembali.
Sememangnya manusia mempunyai nafsu. Akan tetapi telah diajarkan kepada manusia, agar tidak menjadikan nafsu sebagai raja, tetapi sebagai hamba. Menjadi pacuan menuju Yang Maha Esa.
Sesungguhnya ALLAH mengasihi hambaNya yang bersabar.
Firman ALLAH SWT (mafhumnya),
"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik."(Al-Ma'aarij:5)
"Dan taatlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar" (Al-Anfaal:46)
Selusuri akhlakmu wahai sahabat
(artikel ini dipetik dan di edit daripada kitab at-Thariq ilal Quluub, oleh Syeikh Abbas As-Siisi)
Qudwah hasanah.
Qudwah hasanah adalah cara dakwah yang tidak memerlukan penjelasan dan dialog. Ini merupakan cara praktikal, kerana keyakinan kepada dakwah seperti ini akan melahirkan keyakinan kepada fakta yang kukuh dan realiti yang nyata.
Cara ini lebih cepat menyebabkan masyarakat untuk percaya dan menerima seruan. Imam As-Syahid Hasan Al-Banna telah menyatakan, "Kitab yang terletak di perpustakaan sedikit yang membacanya, tetapi seorang muslim sejati adalah 'kitab terbuka' yang semua orang membacanya. Ke mana saja ia pergi, ia adalah 'dakwah yang bergerak'.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud,
"Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah suri teladan yang baik bagimu." (Al-Ahzab: 21)
Oleh kerananya, seorang mahasiswa muslim yang cemerlang, di samping kedudukannya yang terhormat dan disukai banyak orang, pada saat yang sama hal itu merupakan dakwah yang cemerlang dan mampu "berbicara banyak". Demikian juga seorang pegawai, pekerja atau yang lainnya.
ALLAH SWT berfirman yang bermaksud,
"Tetapi Allah menjadikan kalian cinta kepada keimanan dan menjadikan iman itu indah dalam hati kalian." (Al-Hujurat: 7)
Kisah benar cintaku pada si dia
I love U!
Berdegup kencang jantungku mendengar kalimah tersebut. Tidak kusangka sama sekali... Benarkah? Antara percaya atau tidak...
Rupanya, segalanya bermula sewaktu zaman persekolahan lagi. Tingkatan 5. Tika itu, kami menghampiri hujung tahun, dan semuanya akan berpisah tatkala tamatnya SPM. Luahan pertama darinya. Tetapi ianya berlaku di dalam bilik mesyuarat. "Kalau mencari teman, carilah teman seperti Hamdi." Masakan aku bisa menangkap apa yang dimaksudkan olehnya tatkala itu. Aku masih mentah, tambahan pula ucapannya itu di tengah ramai, di dalam bilik mesyuarat.
Dan sebelumnya, kami memang rapat. Segala masalahnya diluahkan kepadaku. Aku akan duduk di sampingnya, dan setia mendengar dia melontarkan keluhan hatinya, sehinggalah tenang jiwanya. Dan tenang jua jiwaku melihat dia kembali tenang. Barangkali inilah puncanya dia berkata sedemikian.
Di sekolah, dialah yang akan kucari untuk bersama. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat, penuh berhikmah. Sememangnya berhikmah, kerana ia lahir dari mulutnya, seorang yang cukup aku hormati dek kewarakannya.
Dan kami tidak pernah berpisah, sehinggakan tatkala aku melanjutkan pelajaran ke luar negara, kami masih begitu rapat. Sering berjumpa. Jika bukan wajah masing-masing yang ditatap, maka cukuplah hati kami merindu.
Bicara kami bukan bicara biasa. Bagiku, itulah yang cukup menyeronokkan bersamanya. Bicara kami, adalah luahan hati ke hati. Sehinggakan, si dia pernah menitiskan air mata tatkala aku menjenguknya pada suatu hari. Bukan kerana aku memutuskan hubungan dengannya, tetapi kerana bicara kami. Luahan tulus dari hati.
Konflik memang menjadi rencah dalam hubungan kami, sejaki dahulu lagi. Tetapi kami tidak gentar, kerana segalanya disambut dengan tolak ansur.
Tetapi, benar, aku selalu terfikir. Ya ALLAH, apakah aku benar dalam bersamanya? Adakah tindakan aku ini tidak salah di sisi agamaMU? Tapi aku cintakannya ya ALLAH. Tunjukilah aku!
Di tengah detikan kesepian yang panjang di bumi Irbid, aku sering teringat kemesraan kami. Detik-detik gembira kami bersama. Aku merindukan semuanya. Masa sentiasa mencemburui kami tatkala kami bersama. Detik menjadi singkat. Aku selalu berharap dia di sisiku, agar terhapus kesepian ini. Agar hidupku penuh bererti.
Mengimbau kenangan lalu, aku selalu menemaninya ke pusat bandar untuk membeli-belah. Atau mungkin jugak, aku sebenarnya yang ditemani, kerana aku yang mengajaknya keluar. Tetapi antara yang cukup disukainya ialah tudung labuh. Beberapa kali kami ke Kota Bharu untuk membeli tudung labuh. Aku sememangnya suka pada dirinya yang berpegang teguh pada ajaran agama.
Keadaan itu berlanjutan sehinggalah pada suatu hari, dia berkata kepadaku. "Janganlah berasa segan denganku...", melihat aku yang sedikit kekok. Aku mula berasa kehairanan. Pernah, aku melihat di dalam diarinya tertulis, "Hamdi, teman ... terbaik". Adakah dia mempunyai perasaan yang sama sepertiku? Ya ALLAH, kumohon petunjukMU.
Sehinggalah pada suatu hari...
"I love U!"
Itulah ucapan yang kuterima daripadanya ketika aku sedang menunggu untuk menaiki kapal terbang untuk kembali meneruskan perjuanganku di bumi Jordan pada Februari 2009. Sebelum menaiki kapal terbang, aku mengambil kesempatan menghubunginya, bertanyakan khabarnya buat kali terakhir sebelum berlepas. Dan pada kesempatan itu jugalah dia meluahkan kalimah tersebut, membuatkan aku tak keruan.
Tiba di Irbid, hatiku selalu teringat akannya. Gambarnya yang di dalam simpananku sering aku tatap. Aku semakin yakin dengan perasaan ini. Cintaku padanya. Walaupun aku selalu juga terfikir, benarkah tindakanku di sisi Tuhanku?
Hidup ini aku rasa lebih bererti, lebih dihargai. Indahnya kurasa cinta ini. Detik-detik yang kulalui penuh bermakna. Selalu kuharapkan cintaku padanya adalah cinta yang diredhai ALLAH, mendapat payungan rahmat daripadaNYA.
Dan lebih indah ketika dia memberikanku semangat, tatkala aku jatuh ketika bertatih dalam perjuanganku. Tatkala aku lemas dalam arus deras. "Saya tak mahu kehilangan awak." Betapa terharunya aku mendengar bicara isi hatinya. Bimbang dia melihat aku yang semakin lemah, bimbang aku akan keluar dari perjuangan ini. Ya ALLAH, betapa aku hargai cintanya, betapa aku berasa gembira mengenal dia.
Tenang aku jika bersamanya. Dialah penyokongku yang membuatkan diriku yakin dalam bertindak, sumber aspirasiku yang membuatkan tindakanku berhikmah, jua pendorongku ke arah cinta Ilahi.
Kata-kata Imam As Syafie rahimahullah tentang si dia,
"Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.
Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.
Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri."
~'Dia' adalah beberapa orang sahabatku yang dikasihi. Terima kasih sahabat!!!
Syeikh tua itu...
Salam
Tangan kirinya kemas memegang tongkat. Sudah tua orangnya. Janggut dan jambang memutih. Beliau bangun berdiri selepas solat maghrib di Masjid Tal.
Memang menjadi kebiasaan ada yang akan mengikhlaskan diri memberi tazkirah dan taujihat, atau membaca kitab2 agama usai solat fardhu, dan juga menjadi kebiasaan jemaah yang mendengarnya tidak begitu ramai. Tetapi malam ini agak berbeza. Agak ramai jemaah yang setia mendengar taujihat syeikh ini, walaupun jumlahnya surut sedikit demi sedikit seperti biasa.
Melihat pada orangnya yang sudah berumur, tua bertongkat, siapa sangka tertanam semangat seorang pemuda pejuang Islam. Berapi kata-kata semangat dan tazkirah yang disampaikan. "Kemenangan kita adalah dengan Islam! Kembalilah kalian kepada Islam! Pertolongan ALLAH bersama Islam! Janganlah jadikan kaum kafir dan munafiq sebagai 'auliyaa''! ..." Diselitkan dengan dalil-dalil daripada Kalam ALLAH AlQuran AlKarim. Keras dan kemas suaranya tegas. Seolah-olah yang menyampaikan taujihat itu tidak bertongkat, bahkan seorang pemuda tegap dan sasa.
Alhamdulillah. Termenung dan asyik mendengar taujihatnya. Jelas kembali rasanya kekaburan yang menyelubungi saya. Semangat yang menghilang entah ke mana terasa bangkit semula. Semangat yang saya perlukan untuk meneruskan perjuangan ini. Alhamdulillah.
Mungkin dek terasa segan kepadanya yang sudah berumur, tetapi mempunyai cinta kepada Islam yang membara, cinta yang dibuktikan. Mungkin juga kerana akal saya memproses apa yang disampaikan dengan baik, lantas jiwa saya mengait dan mencapai kembali semangat yang kian kabur dan luput. Tetapi yang penting, ianya adalah petunjuk. Dan petunjuk kepada kebenaran datangnya daripada ALLAH, walau bagaimana saya memperolehnya.
Alhamdulillah...Astaghfirullah...Subhanallah...
Pandulah hamba-hambaMU ini...
Untukmu AlQassam
Salam
Alhamdulillah, menusuk hati betul bacaan surah AlMa'aarij oleh Syeikh Hani Rifaie. Segar sedikit rasanya hati yang menggelap, ibarat pokok bunga disiram air. Bergenang titisan jernih membersihkan mata yang kabur. Mendapat semangat untuk meneruskan perjuangan, meniti hari-hari mendatang di Irbid, semoga terus dipayungi rahmat ALLAH, di mana sahaja kaki ini berpijak.
ALLAH sahajalah yang layak dipuji. HidayahNYA lah yang membuka hati manusia. Rentak hati yang keras, menjadi alunan yang lembut lagi menenangkan. Siapa yang tidak tenang dengan cinta ALLAH, dan siapakah yang pernah tenang dengan cinta dunia...
Sudah dua minggu saya di sini. Memilih untuk 'bermastautin' di rumah sahabat, bagi saya bukanlah pilihan yang paling bijak, tapi dek saya berasa terlalu lemah mengharungi hidup di sini. Tetapi ketahuilah ya ALLAH, bahawa hambaMu masih belum berputus asa dari rahmatMu.
Alhamdulillah, di rumah inilah dahulu saya mengutip mutiara-mutiara daripada Abu Hakim, orang yang cukup saya hormati. Masakan tidak, lihat sahajalah pada keperibadiannya. Seorang yang rendah diri, rajin, tawadduk. Banyak lagi. Tatkala mata-mata sahabat lain telah kuyu dek menghadap buku, sehingga akhirnya mereka 'gugur' begitu sahaja, Abu Hakim memilih untuk menyegarkan kembali matanya dengan manifestasi cintanya kepada Tuhannya. Solat beberapa rakaat, membaca AlQuran AlKarim. Dan ini bukan sekadar pilihannya. Inilah karakter beliau.
Setiap amalan dimulakan dengan menyebut nama ALLAH, dan tidak lupa diakhiri dengan puji-pujian bagi ALLAH. Memetik suis, mengangkat bakul, membasuh pinggan mangkuk. Semuanya. Subhanallah, patutlah Abu Hakim ni nampak hebat. Sebab orangnya memang hebat.
Sahabat seterusnya, Uthman. Seorang yang cukup hebat. Saya sendiri tidak pernah menyangka dapat berkenalan dengan orang yang sebegitu hebat. Ilmu memenuhi dada. Bahasa Arab, Hadis, AlQuran, dan banyak lagi. Tapi disebabkan minat saya terhadap Bahasa Arab dan Hadis, maka itulah yang menjadi tumpuan kami. Mustolahah, mu'jam dan sebagainya baru saya kenal. Rupanya ilmu ALLAH ni begitu sekali luasnya.
Seorang yang bercita-cita tinggi, yang saya rasa tak perlulah saya ceritakan di sini tentang cita-cita tersebut, sebab kalau saya cerita pun rasanya ramai yang tak faham. Dan sebab ramai yang tak fahamlah dia menghadapi sedikit kesulitan terhadap cita-citanya. Tapi yang penting, jika kalian bertanyakan sesuatu permasalahan dengannya, kalian akan memperoleh sesuatu yang baru.
Juga seorang yang suka bercerita. Lenguh minda saya mendengar dan menghafal cerita beliau (sebab saya cuma pendengar yang setia, saya jenis tak banyak cakap orangnya). Tapi berbaloi. Ada emas yang dapat digali.
Penghuni ketiga, Ibnu Zahari. Kawan saya semenjak sekolah rendah lagi. Tapi baru rapat di sini, di bumi Jordan. Seorang yang versatil. Pelajaran yang stabil, ilmu di dada juga tidak kurang. Cukup mahir mengejutkan yang tidur dengan cara penuh psikologi. Nak tau meh la tidur kat sini.
Juga sahabat yang disegani, serta mempunyai ciri-ciri pemimpin. Seorang penggerak penting dalam rumah ini. Disamping banyak kali saya dibedil pedas olehnya, dek sifat negatif yang terdapat dalam diri. InsyaALLAH dalam proses nak buang la ni wahai sahabatku Ibnu Zahari.
Yang menaip...tetap hamba yang dhaif. Masih tidak mengerti tarafnya pada pandangan Tuhannya. Masih merangkak dalam mendamba cinta Tuhannya. Masih kabur dengan pelbagai selubung. Masih dikejar bayang-bayang sendiri... Ya ALLAH
Meow...
Salam
Khusyuk itu milik ALLAH, Hamdi!
Seolah-olah begitulah teguran yang diberikan oleh ALLAH ketika solat isyak tadi. Tengah-tengah sembahyang isyak tadi, saya terfikir sekejap; "ni yang tak seronok pakai kain pelikat masa solat ni, nak qiam daripada sujud, mesti kain pelikat kena tindih dek jemaah sebelah, sampai nak terjatuh. Kan bagus pakai seluar macam kat Jordan, tak la khusyuk aku terganggu."
Qiam daripada sujud itu, tiba-tiba terus terasa kain pelikat ditarik. Saya sangkakan tiupan angin kipas besar di masjid Melor, jadi saya biarkan sahaja. Agak lama terasa kain ditarik, saya rasa pelik. Rupa-rupanya ada seekor kucing berjalan di celah kain pelikat saya.
Terus hati yang bongkak ini tunduk, terasa segan dengan Pencipta khusyuk dan Pencipta kucing tersebut. ALLAH. Seolah-olah ALLAH terus tegur, bahawa DIA yang memberi khusyuk itu Hamdi! Yang saya harap-harapkan itu. Malu. Malu. Malu. Astaghfirullah...
Melor
Salam

Antara Tenang dan Gembira
Salam
Alhamdulillah, kali ini dah masuk kali kedua saya pulang ke tanah air dalam tempoh belajar di luar negara. Sudah dua jenis penerbangan saya naiki, bermakna sudah dua jenis ragam, dan dua jenis masalah.
Hah, biarlah mereka. Lagipun memerhatikan ragam manusia memang salah satu perkara yang menarik minat saya. Seronok melihat bagaimana manusia memberi respond kepada persekitaran. Kadang-kadang, seorang manusia, satu peristiwa, tetapi berbagai-bagai tafsiran dan tindak balas. Mana yang elok, boleh diambil dan diterap dalam diri. Mana yang tidak elok, kita ubah menjadi positif.
Terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata beberapa orang sahabat dan saudara-mara. "Bertuah kamu Di, dapat belajar oversea. Jordan pulak tu. Balik nanti jadi syeikh la. Alang-alang carilah sorang syeikhah arab". Tuut.
Entahlah. Alhamdulillah, memang tidak dapat saya nafikan saya sangat bersyukur dapat belajar di Jordan, sebab sudah banyak yang saya peroleh. Talaqqi dengan Syeikh Uqbah, kelas tajwid Markaz Huda, biah 'bergerak' dan macam-macam lagi. (Ayat terakhir perenggan kat atas tidak akan disyarahkan di sini, harap tidak timbul kontroversi...) . Negatifnya ...
Malam itu saya terbang pada kelajuan purata 750 km/jam. Dek saya sudah letih berlatih lari pecut, tetapi tidak pernah menang tempat pertama, jadi saya fikir elok saya mengalah. Saya berlatih terbang. Alhamdulillah, inilah hasil usaha saya, pada percubaan kedua. Mungkin kalian tidak percaya, tetapi saya yakin, sebab cikgu fizik saya ajar macam ni, mengikut hukum fizik.
Memasuki ruang udara Malaysia, saya rasa cukup seronok. Tetapi yang lebih seronok, tatkala saya duduk pada kelajuan 80 km/jam memasuki wilayah Kelantan. Alhamdulillah. Tenang dan gembira.
Antara Tenang dan Gembira
Masuknya saya ke wilayah Kelantan, adakah yang dirasai hati ini merupakan rasa tenang kerana rindu Tuhan atau hanya sekadar gembira menikmati tanah air sendiri?
Kedua-duanya. InsyaALLAH. Bagi saya, di wilayah Kelantan, hati saya lebih tenang. Masuk sahaja ke wilayah ini, hati saya sudah dapat merasai perbezaannya. Mogamoga yang dirasai itu adalah berkatnya negeri Kelantan. Amin.
Dan sememangnya saya gembira. Siapa yang tidak gembira dapat kembali kepada CINTAnya, tenangnya, kembali kepada keluarganya, kepada suasananya, dan dapat merenggangkan diri dari masyarakat Arab...(sesetengah mereka). :-)
Memberi dan Menerima
Susahnya nak memberi. Tapi hati sentiasa terbuka untuk menerima...
Berapa kali kemenangan yang ditagih?
Salam
"Ya ALLAH, jadikanlah peperangan ini (Gaza) sebagai titik tolak untuk syabab dan banat umat ini kembali kepada agama mereka". Menusuk hati para jemaah, petikan doa qunut nazilah yang dibacakan oleh Syeikh Ma'moun di Masjid Jamiah Yarmouk, Irbid, Jordan.
"Kamu sungguh akan diuji terhadap hartamu dan dirimu. Dan kamu sungguh-sungguh akan mendengar daripada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan dari orang-orang yang mempersekutukan ALLAH, gangguan yang banyak yang menyakitkan hati. Jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yang demikian itu termasuk urusan yang patut diutamakan". mafhum surah ali Imran, ayat 186.
Tengah-tengah kesibukan exam ni, jari ni sibuk nak buat post baru, memandangkan Israel masih menggaru kurap di tangan.
Menyelusuri sejarah kegemilangan Islam, sejak bermulanya pada zaman baginda junjungan Rasulullah SAW sehingga Kerajaan Turki Uthmaniyyah. Umat Islam adalah umat yang digeruni dan disegani. Ketamadunan, kerohanian, teknologi. Bermacam-macam lagi. Namun dengki Yahudi yang tidak pernah padam, bangsa Yahudi sedunia yang selama ini berusaha mencari suatu penempatan sendiri, telah sebulat suara terhadap suatu tempat untuk mereka bertapak, sebuah negara sendiri, tidak lagi merempat.
Penubuhan
Usaha utama untuk menubuhkan negara Israel bermula daripada muktamar Yahudi sedunia pada tahun 1897M di Bassel, Switzerland. Theodor Herzl yang mempengerusikan muktamar ini merupakan mastermind laknatullah dalam pembentukan negara Yahudi, juga merupakan seorang peguam dan wartawan. Dia juga menulis sebuah buku bertajuk The Jewish State, yang menggemparkan dunia pada masa tersebut.
"Kita berhimpun di sini untuk meletakkan batu asas bagi mencari dasar-dasar yang membolehkan yahudi-yahudi sedunia yang melata dihimpunkan setempat dan yahudi telah wujud sejak 20 kurun lagi"-kata-kata Theodor Herzl pada muktamar tersebut.
Satu daripada resolusi muktamar tersebut ialah untuk membina sebuah negara Israel, dan tempat yang menjadi pilihan adalah Palestin.
Baji
Palestin menjadi idaman, bukanlah suatu yang biasa, tetapi penuh perancangan. Sedangkan banyak lagi tempat yang tidak berpenduduk di serata dunia pada ketika itu. Palestin, ibarat baji yang digunakan untuk membelah dua sepotong kayu yang kukuh, mengelakkan kedua-dua bahagian bersatu, begitu juga apa yang tergambar di hati busuk mereka.
Kedudukan Palestin di tengah-tengah negara Arab, membolehkan bangsa Yahudi memecah-belahkan bangsa Arab, jika mereka berada di tengah-tengah. Bukan sekadar memisahkan bangsa Arab, tetapi mereka juga menghasut dan mempelagakan sesama Arab. Kereta kebal dibekalkan, wang disalurkan, untuk membantu bangsa Arab memusnahkan saudara mereka sendiri.
Palestin mula jatuh dari penguasaan Khilafah Turki Uthmaniyyah apabila iman dan rasional bangsa Arab dibakar oleh laungan semangat nasionalis. Kebangsaan! Palestin untuk bangsa Arab! Bukan milik bangsa Turki! Maka terlepaslah Palestin, disebabkan dua faktor; tanah air (wathoniah) dan politik.
Namun, nun tempat jatuh Palestin akhirnya ke tangan bangsa Yahudi...disebabkan kebangangan Arab nasionalis.
Berapa?
Di tengah-tengah umat yang rosak, pemuda pemudi Islam hanyalah pada namanya, Palestin terus menjadi mangsa. Alhamdulillah, isu Palestin amat menjadi keprihatinan seluruh umat Islam khususnya, dan seluruh dunia amnya. Melihat HAMAS khususnya sedang mempertahankan kebenaran disebalik serangan tentera Israel dan juga munafiq dalam kalangan arab,
(http://pujangga-kembara.blogspot.com/2009/01/kebenaran-yang-tersembunyi-di-sebalik.html),
(http://satuumat.blogspot.com/2008/12/puncanya-dunia-arab-cemburukan-hamas.html) teringat firman ALLAH SWT dalam surah al Baqarah ayat 214 yang bermaksud
"Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (ujian) sebagaimana orang-orang terdahulu dari kamu? Mereka ditimpa malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan ALLAH?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan ALLAH itu amat dekat".
Sedarlah kalian yang mengaku umat Islam!!! Fikirkan. Untuk apa ALLAH memberikan pertolongan jika kita masih belum layak??? Jika kita masih belum kembali kepada ISLAM??? Jika hidup pun masih dalam 'telunjuk' dan 'bayangan' Yahudi??? Jika pemimpin-pemimpin Islam masih...
Apakah nilai kemenangan ini? Kesenangan yang sementara? Kepuasan hati bagi mereka yang berjuang untuk Islam atas dasar hammasah semata-mata? Dipijak marah memijak buat-buat tak tahu. Untuk kalah lagi pada masa hadapan?
"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai kematian. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan pahalamu. Barangsiapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga maka sungguh dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan". Mafhum surah ali Imran, ayat 185.
"Ya ALLAH, jadikanlah peperangan ini titik tolak bagi syabab dan banat umat ini kembali kepada agama mereka". Kembalilah kepada Islam, kerana mulianya kita hanyalah kerana Islam.