Kisah benar cintaku pada si dia

I love U!

Berdegup kencang jantungku mendengar kalimah tersebut. Tidak kusangka sama sekali... Benarkah? Antara percaya atau tidak...

Rupanya, segalanya bermula sewaktu zaman persekolahan lagi. Tingkatan 5. Tika itu, kami menghampiri hujung tahun, dan semuanya akan berpisah tatkala tamatnya SPM. Luahan pertama darinya. Tetapi ianya berlaku di dalam bilik mesyuarat. "Kalau mencari teman, carilah teman seperti Hamdi." Masakan aku bisa menangkap apa yang dimaksudkan olehnya tatkala itu. Aku masih mentah, tambahan pula ucapannya itu di tengah ramai, di dalam bilik mesyuarat.
Dan sebelumnya, kami memang rapat. Segala masalahnya diluahkan kepadaku. Aku akan duduk di sampingnya, dan setia mendengar dia melontarkan keluhan hatinya, sehinggalah tenang jiwanya. Dan tenang jua jiwaku melihat dia kembali tenang. Barangkali inilah puncanya dia berkata sedemikian.

Di sekolah, dialah yang akan kucari untuk bersama. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat, penuh berhikmah. Sememangnya berhikmah, kerana ia lahir dari mulutnya, seorang yang cukup aku hormati dek kewarakannya.

Dan kami tidak pernah berpisah, sehinggakan tatkala aku melanjutkan pelajaran ke luar negara, kami masih begitu rapat. Sering berjumpa. Jika bukan wajah masing-masing yang ditatap, maka cukuplah hati kami merindu.

Bicara kami bukan bicara biasa. Bagiku, itulah yang cukup menyeronokkan bersamanya. Bicara kami, adalah luahan hati ke hati. Sehinggakan, si dia pernah menitiskan air mata tatkala aku menjenguknya pada suatu hari. Bukan kerana aku memutuskan hubungan dengannya, tetapi kerana bicara kami. Luahan tulus dari hati.

Konflik memang menjadi rencah dalam hubungan kami, sejaki dahulu lagi. Tetapi kami tidak gentar, kerana segalanya disambut dengan tolak ansur.

Tetapi, benar, aku selalu terfikir. Ya ALLAH, apakah aku benar dalam bersamanya? Adakah tindakan aku ini tidak salah di sisi agamaMU? Tapi aku cintakannya ya ALLAH. Tunjukilah aku!

Di tengah detikan kesepian yang panjang di bumi Irbid, aku sering teringat kemesraan kami. Detik-detik gembira kami bersama. Aku merindukan semuanya. Masa sentiasa mencemburui kami tatkala kami bersama. Detik menjadi singkat. Aku selalu berharap dia di sisiku, agar terhapus kesepian ini. Agar hidupku penuh bererti.

Mengimbau kenangan lalu, aku selalu menemaninya ke pusat bandar untuk membeli-belah. Atau mungkin jugak, aku sebenarnya yang ditemani, kerana aku yang mengajaknya keluar. Tetapi antara yang cukup disukainya ialah tudung labuh. Beberapa kali kami ke Kota Bharu untuk membeli tudung labuh. Aku sememangnya suka pada dirinya yang berpegang teguh pada ajaran agama.

Keadaan itu berlanjutan sehinggalah pada suatu hari, dia berkata kepadaku. "Janganlah berasa segan denganku...", melihat aku yang sedikit kekok. Aku mula berasa kehairanan. Pernah, aku melihat di dalam diarinya tertulis, "Hamdi, teman ... terbaik". Adakah dia mempunyai perasaan yang sama sepertiku? Ya ALLAH, kumohon petunjukMU.


Sehinggalah pada suatu hari...

"I love U!"

Itulah ucapan yang kuterima daripadanya ketika aku sedang menunggu untuk menaiki kapal terbang untuk kembali meneruskan perjuanganku di bumi Jordan pada Februari 2009. Sebelum menaiki kapal terbang, aku mengambil kesempatan menghubunginya, bertanyakan khabarnya buat kali terakhir sebelum berlepas. Dan pada kesempatan itu jugalah dia meluahkan kalimah tersebut, membuatkan aku tak keruan.

Tiba di Irbid, hatiku selalu teringat akannya. Gambarnya yang di dalam simpananku sering aku tatap. Aku semakin yakin dengan perasaan ini. Cintaku padanya. Walaupun aku selalu juga terfikir, benarkah tindakanku di sisi Tuhanku?

Hidup ini aku rasa lebih bererti, lebih dihargai. Indahnya kurasa cinta ini. Detik-detik yang kulalui penuh bermakna. Selalu kuharapkan cintaku padanya adalah cinta yang diredhai ALLAH, mendapat payungan rahmat daripadaNYA.

Dan lebih indah ketika dia memberikanku semangat, tatkala aku jatuh ketika bertatih dalam perjuanganku. Tatkala aku lemas dalam arus deras. "Saya tak mahu kehilangan awak." Betapa terharunya aku mendengar bicara isi hatinya. Bimbang dia melihat aku yang semakin lemah, bimbang aku akan keluar dari perjuangan ini. Ya ALLAH, betapa aku hargai cintanya, betapa aku berasa gembira mengenal dia.

Tenang aku jika bersamanya. Dialah penyokongku yang membuatkan diriku yakin dalam bertindak, sumber aspirasiku yang membuatkan tindakanku berhikmah, jua pendorongku ke arah cinta Ilahi.


Kata-kata Imam As Syafie rahimahullah tentang si dia,

"Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri."


~'Dia' adalah beberapa orang sahabatku yang dikasihi. Terima kasih sahabat!!!