Syeikh tua itu...

Salam

Tangan kirinya kemas memegang tongkat. Sudah tua orangnya. Janggut dan jambang memutih. Beliau bangun berdiri selepas solat maghrib di Masjid Tal.

Memang menjadi kebiasaan ada yang akan mengikhlaskan diri memberi tazkirah dan taujihat, atau membaca kitab2 agama usai solat fardhu, dan juga menjadi kebiasaan jemaah yang mendengarnya tidak begitu ramai. Tetapi malam ini agak berbeza. Agak ramai jemaah yang setia mendengar taujihat syeikh ini, walaupun jumlahnya surut sedikit demi sedikit seperti biasa.

Melihat pada orangnya yang sudah berumur, tua bertongkat, siapa sangka tertanam semangat seorang pemuda pejuang Islam. Berapi kata-kata semangat dan tazkirah yang disampaikan. "Kemenangan kita adalah dengan Islam! Kembalilah kalian kepada Islam! Pertolongan ALLAH bersama Islam! Janganlah jadikan kaum kafir dan munafiq sebagai 'auliyaa''! ..." Diselitkan dengan dalil-dalil daripada Kalam ALLAH AlQuran AlKarim. Keras dan kemas suaranya tegas. Seolah-olah yang menyampaikan taujihat itu tidak bertongkat, bahkan seorang pemuda tegap dan sasa.

Alhamdulillah. Termenung dan asyik mendengar taujihatnya. Jelas kembali rasanya kekaburan yang menyelubungi saya. Semangat yang menghilang entah ke mana terasa bangkit semula. Semangat yang saya perlukan untuk meneruskan perjuangan ini. Alhamdulillah.

Mungkin dek terasa segan kepadanya yang sudah berumur, tetapi mempunyai cinta kepada Islam yang membara, cinta yang dibuktikan. Mungkin juga kerana akal saya memproses apa yang disampaikan dengan baik, lantas jiwa saya mengait dan mencapai kembali semangat yang kian kabur dan luput. Tetapi yang penting, ianya adalah petunjuk. Dan petunjuk kepada kebenaran datangnya daripada ALLAH, walau bagaimana saya memperolehnya.

Alhamdulillah...Astaghfirullah...Subhanallah...
Pandulah hamba-hambaMU ini...

Untukmu AlQassam

Salam

Alhamdulillah, menusuk hati betul bacaan surah AlMa'aarij oleh Syeikh Hani Rifaie. Segar sedikit rasanya hati yang menggelap, ibarat pokok bunga disiram air. Bergenang titisan jernih membersihkan mata yang kabur. Mendapat semangat untuk meneruskan perjuangan, meniti hari-hari mendatang di Irbid, semoga terus dipayungi rahmat ALLAH, di mana sahaja kaki ini berpijak.

ALLAH sahajalah yang layak dipuji. HidayahNYA lah yang membuka hati manusia. Rentak hati yang keras, menjadi alunan yang lembut lagi menenangkan. Siapa yang tidak tenang dengan cinta ALLAH, dan siapakah yang pernah tenang dengan cinta dunia...

Sudah dua minggu saya di sini. Memilih untuk 'bermastautin' di rumah sahabat, bagi saya bukanlah pilihan yang paling bijak, tapi dek saya berasa terlalu lemah mengharungi hidup di sini. Tetapi ketahuilah ya ALLAH, bahawa hambaMu masih belum berputus asa dari rahmatMu.

Alhamdulillah, di rumah inilah dahulu saya mengutip mutiara-mutiara daripada Abu Hakim, orang yang cukup saya hormati. Masakan tidak, lihat sahajalah pada keperibadiannya. Seorang yang rendah diri, rajin, tawadduk. Banyak lagi. Tatkala mata-mata sahabat lain telah kuyu dek menghadap buku, sehingga akhirnya mereka 'gugur' begitu sahaja, Abu Hakim memilih untuk menyegarkan kembali matanya dengan manifestasi cintanya kepada Tuhannya. Solat beberapa rakaat, membaca AlQuran AlKarim. Dan ini bukan sekadar pilihannya. Inilah karakter beliau.

Setiap amalan dimulakan dengan menyebut nama ALLAH, dan tidak lupa diakhiri dengan puji-pujian bagi ALLAH. Memetik suis, mengangkat bakul, membasuh pinggan mangkuk. Semuanya. Subhanallah, patutlah Abu Hakim ni nampak hebat. Sebab orangnya memang hebat.

Sahabat seterusnya, Uthman. Seorang yang cukup hebat. Saya sendiri tidak pernah menyangka dapat berkenalan dengan orang yang sebegitu hebat. Ilmu memenuhi dada. Bahasa Arab, Hadis, AlQuran, dan banyak lagi. Tapi disebabkan minat saya terhadap Bahasa Arab dan Hadis, maka itulah yang menjadi tumpuan kami. Mustolahah, mu'jam dan sebagainya baru saya kenal. Rupanya ilmu ALLAH ni begitu sekali luasnya.

Seorang yang bercita-cita tinggi, yang saya rasa tak perlulah saya ceritakan di sini tentang cita-cita tersebut, sebab kalau saya cerita pun rasanya ramai yang tak faham. Dan sebab ramai yang tak fahamlah dia menghadapi sedikit kesulitan terhadap cita-citanya. Tapi yang penting, jika kalian bertanyakan sesuatu permasalahan dengannya, kalian akan memperoleh sesuatu yang baru.

Juga seorang yang suka bercerita. Lenguh minda saya mendengar dan menghafal cerita beliau (sebab saya cuma pendengar yang setia, saya jenis tak banyak cakap orangnya). Tapi berbaloi. Ada emas yang dapat digali.

Penghuni ketiga, Ibnu Zahari. Kawan saya semenjak sekolah rendah lagi. Tapi baru rapat di sini, di bumi Jordan. Seorang yang versatil. Pelajaran yang stabil, ilmu di dada juga tidak kurang. Cukup mahir mengejutkan yang tidur dengan cara penuh psikologi. Nak tau meh la tidur kat sini.

Juga sahabat yang disegani, serta mempunyai ciri-ciri pemimpin. Seorang penggerak penting dalam rumah ini. Disamping banyak kali saya dibedil pedas olehnya, dek sifat negatif yang terdapat dalam diri. InsyaALLAH dalam proses nak buang la ni wahai sahabatku Ibnu Zahari.

Yang menaip...tetap hamba yang dhaif. Masih tidak mengerti tarafnya pada pandangan Tuhannya. Masih merangkak dalam mendamba cinta Tuhannya. Masih kabur dengan pelbagai selubung. Masih dikejar bayang-bayang sendiri... Ya ALLAH