Syeikh tua itu...

Salam

Tangan kirinya kemas memegang tongkat. Sudah tua orangnya. Janggut dan jambang memutih. Beliau bangun berdiri selepas solat maghrib di Masjid Tal.

Memang menjadi kebiasaan ada yang akan mengikhlaskan diri memberi tazkirah dan taujihat, atau membaca kitab2 agama usai solat fardhu, dan juga menjadi kebiasaan jemaah yang mendengarnya tidak begitu ramai. Tetapi malam ini agak berbeza. Agak ramai jemaah yang setia mendengar taujihat syeikh ini, walaupun jumlahnya surut sedikit demi sedikit seperti biasa.

Melihat pada orangnya yang sudah berumur, tua bertongkat, siapa sangka tertanam semangat seorang pemuda pejuang Islam. Berapi kata-kata semangat dan tazkirah yang disampaikan. "Kemenangan kita adalah dengan Islam! Kembalilah kalian kepada Islam! Pertolongan ALLAH bersama Islam! Janganlah jadikan kaum kafir dan munafiq sebagai 'auliyaa''! ..." Diselitkan dengan dalil-dalil daripada Kalam ALLAH AlQuran AlKarim. Keras dan kemas suaranya tegas. Seolah-olah yang menyampaikan taujihat itu tidak bertongkat, bahkan seorang pemuda tegap dan sasa.

Alhamdulillah. Termenung dan asyik mendengar taujihatnya. Jelas kembali rasanya kekaburan yang menyelubungi saya. Semangat yang menghilang entah ke mana terasa bangkit semula. Semangat yang saya perlukan untuk meneruskan perjuangan ini. Alhamdulillah.

Mungkin dek terasa segan kepadanya yang sudah berumur, tetapi mempunyai cinta kepada Islam yang membara, cinta yang dibuktikan. Mungkin juga kerana akal saya memproses apa yang disampaikan dengan baik, lantas jiwa saya mengait dan mencapai kembali semangat yang kian kabur dan luput. Tetapi yang penting, ianya adalah petunjuk. Dan petunjuk kepada kebenaran datangnya daripada ALLAH, walau bagaimana saya memperolehnya.

Alhamdulillah...Astaghfirullah...Subhanallah...
Pandulah hamba-hambaMU ini...

0 Responses to "Syeikh tua itu..."