Meletup!

Salam

Tengah sibuk menaip pos semalam, tiba-tiba "POM!!!". Meletup. Siap keluar cahaya merah lagi belakang laptop saya. Elektrik pun terputus sama. Kaget sekejap. Laptop baru ni. Nanti kena lecture dengan family pula kalau jadi apa-apa.

Saya bangun dan cuba menyiasat apa masalah yang menyebabkan bekalan elektrik terputus. Suis utama. Alhamdulillah, lepas tu bekalan elektrik tersambung kembali.

Apa lagi, saya terus buka laptop, nak sambung taip post yang tergendala tadi. Alhamdulillah, laptop tak ada masalah. Tapi kemudian, baru buka laptop beberapa minit, letupan kedua pula berlaku. Aduhhh laptop lagi yang meletup. Ya ALLAH, hati dah takut dah. Bimbang jadi apa-apa kat laptop ni. Terus saya cabut plug. Dah tak berani lagi dah nak sambung blogging. Sayang juga kat laptop ni.

Difikir-fikirkan balik, silap saya juga. Sepatutnya saya pasangkan regulator sama, nak kawal power supply. Dah laptop tak tutup berhari-hari, regulator pun tak pasang, memang mengamuk la dia. Manusia pun, ada had dalam menahan sabar.

Kadang-kadang, manusia pun akan 'meletup' juga. Apabila sabarnya sudah di penghujung. Apabila rasa tidak puas hati menguasai diri. Apabila pelbagai tekanan menghujani. Apabila kehendak tidak dipenuhi. Gagal dengan ujian Ilahi.

Lantas, mulailah manusia bertindak bodoh, di luar batasan rasional. Ada yang mengamuk, agresif. Marah-marah dan maki hamun. Ada yang bergaduh sesama saudara. Ada yang menyendiri menyembunyikan diri. Bermacam-macam perkara yang mendatangkan aib diri dan dikesali apabila rasionalnya kembali.

Sememangnya manusia mempunyai nafsu. Akan tetapi telah diajarkan kepada manusia, agar tidak menjadikan nafsu sebagai raja, tetapi sebagai hamba. Menjadi pacuan menuju Yang Maha Esa.

Sesungguhnya ALLAH mengasihi hambaNya yang bersabar.

Firman ALLAH SWT (mafhumnya),

"Maka bersabarlah kamu dengan sabar yang baik."(Al-Ma'aarij:5)

"Dan taatlah kepada ALLAH dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya ALLAH beserta orang-orang yang sabar" (Al-Anfaal:46)

0 Responses to "Meletup!"