Menjadi kaya...

Salam


Pandangan mata Sufi teralih kepada mereka, sedikit mengganggu khusyuknya. Namun hatinya masih setia di situ. Dia betul tidak faham, mengapa selesai sahaja imam memberi salam, mereka bingkas bangun dari tahiyyat akhir, keluar meninggalkan masjid.

Apakah hati mereka tidak ingin mengadu merintih kepada Tuhan mereka? Apakah mereka tidak punya hajat terhadap ALLAH SWT untuk dirayu? Sedangkan dia, cukup banyak yang ingin dipohon dan disesali kepada Penciptanya. Untuk didoakan.

Mungkin mereka punya urusan yang perlu diselesaikan. Itu tidak mengapa. Tetapi bagaimana pula dengan yang memang berniat datang ke masjid semata-mata untuk solat berjemaah? Kaki menanggalkan selipar sewaktu takbiratul ihram, kemudian kaki menyarung kembali selipar sejurus habis salam ke kanan.

"Rugi..." bisik hatinya. Pesan Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat terngiang-ngiang di telinganya. Pesanan itu masih segar mekar di hatinya. Bahawa beliau menyeru para jemaah yang datang solat berjemaah di masjid supaya bijak mencari pahala.

Orang yang bijak pasti berjaya. Ahli perniagaan yang bijak, akan mempelbagaikan cara untuk memaksimumkan keuntungannya. Bidang-bidang baru diteroka, cabang-cabang baru dibuka. Begitu juga dengan mereka yang solat berjemaah di masjid. Perlu bijak. Datang bukan sebarang datang, tetapi datang dengan pelbagai strategi untuk memaksimumkan keuntungan pahala, bersiap-siap dengan pelbagai niat dan perkara yang mampu mengundang pahala.

Melangkah ke masjid dengan membaca doa, keluar juga tersiap doa, memerhatikan langkahan kanan dan kirinya. Mengundang pahala 'free' dengan niat iktikaf. Berbanyak zikir dan doa. Mengambil peluang berada di masjid untuk merapatkan hubungan silaturrahim sesama sahabat dan saudara seagama. Dan banyak lagi yang boleh mengundang pahala.

Inilah yang dimaksudkan oleh beliau sebagai bijak mencari pahala, di samping solat secara berjemaah.

Semakin banyak pahala, semakin banyak jugalah 'duit' akhirat. Sekalipun untuk melangkaui pintu syurga itu, bukanlah dengan banyaknya amalan kita, tetapi dengan rahmat Yang Maha Esa. Tetapi untuk mengundang rahmatNYA, bekalan dosa atau pahala?

Soalan Sufi dijawab.

0 Responses to "Menjadi kaya..."