Terkenangku pada RamadhanMU


Salam


Azan subuh sudah berkumandang. Ifwat pula masih terbaring di atas katil. Sepanjang malam dia berjaga. Hajatnya mahu tidur, tetapi mata ini terasa segar pula setelah berjam-jam tidur pada siang harinya. Fatrah imtihan, memang inilah menjadi kelaziman. 'Biological clock' sudah tidak menentu. Zahir batin diperah, semoga manisnya kejayaan terasa di lidah, kekal di hati.

Ifwat memandang pada kertas-kertas yang tersusun di atas meja. 'Pathology masih ada dua 'lecture' untuk diulang, 'Pharmacology' belum dibaca lagi, 'Physiology' ada tiga 'lecture' lagi untuk dihabiskan sebelum diulang semula. Penting untuk mengulang baca setiap subjek, supaya lebih lekat di ingatan.

Malam itu, kitab suci al-Quran, buku dijadikan teman berjaga. Teman manusia sudah lama lena. Tetapi mendengar sahaja laungan azan, sahut-menyahut dari beberapa buah masjid berdekatan, kelopak mata mula diulik. Memang kerja syaitan. "Nak tidur ke tak ni? Mengantuk..." bisik hatinya. Namun, ingatannya pada Sufi, sahabat baiknya yang cukup dihormati dek kewarakannya, dan cukup dikasihi menerpa. Teringat pada nasihat Sufi, "Janganlah diajar menjamu mata kepada syaitan, lantas menjadikan iman sebagai korban." Tersusun butir kalimahnya.

Memang benar kata sahabatnya Sufi. Mata yang mengantuk tatkala mendengar azan, boleh menjadi jamuan yang mewah buat syaitan. Masakan tidak, andai subuh menjadi gadaian. Ifwat bingkas bangun, bersiap menyucikan diri untuk solat di masjid berdekatan, memantulkan serangan syaitan.

Mengejutkan Hanif dan Hafiz yang nyenyak tidur, Ifwat memulakan langkah ke masjid. Luar masih belum lengang. Ada syabab arab yang masih belum tidur. Ada yang dalam perjalanan ke masjid. Alhamdulillah. Namun ada juga yang sebaliknya...

Sedih rasanya hati tatkala mendengar bacaan imam. "Ya ALLAH, kenapa? Arab, tetapi tajwidnya lintang pukang, sebutan hurufnya pun tidak tepat." Bukanlah ingin memandai-mandai, tetapi berdasarkan apa yang dipelajarinya, memang ada yang tidak kena dengan bacaan imam pagi tersebut. Sebab itulah Ifwat lebih suka solat di sebuah masjid yang agak jauh sedikit, sebab bacaan imamnya. Lunak dan tepat. Tambahan pula, pagi-pagi begini, imam tersebut akan mengalunkan bacaan dengan Qiraat yang berbeza. Qalun, Warsh, dan lain-lain qiraat.

Usai solat subuh, pulang ke rumah, Ifwat mencapai naskhah al-Quran. Bergenang kelopak matanya, bergetar tubuhnya, bacaannya, apabila meniti Kalam ALLAH surah al-A'raf. Terasa olehnya keindahan CINTA...


Memikir dan merasai cinta, dirasakan seolah tidak bertemu hujungnya. Seolah sentiasa lapar. Namun kenyangnya bagi orang awam seperti Ifwat, tatkala mengalirkan air mata penuh perasaan. Solat, al-Quran, mahupun Ramadhan. Teringat Ifwat ketika Ramadhan tahun pertamanya di Jordan. Penghujungnya, belum pasti sama ada esok atau lusa akan berkunjung syawal. Pertama kalinya Ifwat menangis kerana ditinggalkan Ramadhan.

Mungkin kerana Ramadhan di sini lebih penghayatan bagi Ifwat, mungkin perbezaannya dirasai berbanding di Malaysia. Mungkin di sini tidak kedengaran lagu-lagu meriah Hari Raya, mahupun diskaun 50, 60, 70%, juga iklan-iklan menjemput Raya melambai Ramadhan di kaca televisyen seperti tahun-tahun lepas.
Yang ada ialah berbukakan kurma, bersahurkan kurma. Tiada kesibukan membeli baju berpasang-pasang, cuma tetap berbaju 'baru' untuk meraikan Syawal.

Ifwat masih teringat peristiwa tersebut... malam 29 Ramadhan.

(to be continued...exam final last HematoLymphatic System (HLS) 15hb 6 insyaALLAH)

2 Responses to "Terkenangku pada RamadhanMU"

Ibtisam... (visit their site)

mabruk ya akh!
teruskan menulis....
ternanti-nanti episod akan datang...
moga dpt menyentuh jiwa-jiwa yg membaca...(^_^)

wassalam

sahabat (visit their site)

salam. syukran. ana bukannya pndai menulis cerita pun. asyik buat karangan fakta je sejak dari bangku sekolah.
moga2 ada manfaat yg dpt dikutip.