Terkenangku pada RamadhanMU 2

Salam


Memikir dan merasai cinta, dirasakan seolah tidak bertemu hujungnya. Seolah sentiasa lapar. Ada ketika mampu dikenyangkan, tapi yang pasti, lapar berpanjangan.

Bak penagih cinta tatkala lapar,
bak pemimpi syurga tatkala kenyang.
Kekadang terasa mahu meninggalkan pekerjaan duniawi, terus asyik dalam buaian cinta.
Namun dunia tetap diusahakan jua, kerana dunia ladang akhirat.


Malam 29 Ramadhan, Ifwat dan Udin bercadang untuk solat terawih di Masjid Faiha', masjid yang agak jauh dari kawasan perumahan Melayu. Ingin mencuba imam berbeza. Manalah tahu kalau zouqnya berbeza. Teksi Mitsubishi Lancer kuning ditahan. Dibayar nus dinar (RM2.50) setelah sampai ke masjid.

Dan Ifwat tidak menyangka malam tersebut merupakan malam terakhir Ramadhan untuk tahun itu.

Selepas isyak, imam membuat pengumuman. Konon-konon, "Saya, pemegang mohor besar raja-raja, dengan ini mengisytiharkan esok, bermula 1 syawal". Terpinga-pinga Ifwat. Kelu. Dunia ini rasanya seperti kosong. Benarkah yang didengarinya, ataupun penguasaan bahasa Arabnya masih begitu lemah sehinggakan dia salah faham? Tapi perkataan 'Syawal', dia kenal sedari hidupnya di Malaysia lagi.

"Apakah benar? Ya ALLAH, kenapa begitu cepat? Dosaku masih begitu banyak, belum sempat aku solat taubat memohon KAU ampunkan, belum cukup istighfarku, sedang bulan pengampunanMU sudah penghujung. Cinta belum kudakap. Belum puas aku mencicip rahmatMU di bulan mulia ini ya ALLAH."

Sesak dadanya. Solat sunat isyak, Ifwat tidak mampu menahan tangisnya. Titisan jernih membasahi karpet Masjid Faiha'. Terlalu sedih dirasakannya. Adakah lagi untuknya tahun hadapan? Ramadhan hadapan? Dia duduk selepas solat, masih menangis. Arab yang lalu lalang di situ melihatnya dengan perasaan pelik, tidak dipedulikannya. Dia menilik air matanya, ditelitinya, jelas, bukan air mata kerinduan terhadap Malaysia, tetapi air mata yang berbeza. Rasa yang berbeza.

Ifwat lantas keluar dan mendapatkan Udin. "Din, Ramadhan dah habis Din...," sayu.

"Ana tahu..." Rupanya Udin pun sama. Tangisannya belum berhenti. Tidak menyangka Ramadhan tercinta sudah penghujungnya.

Dalam perjalanan pulang, mereka berdua terduduk di hadapan sebuah kedai, menangis, tidak mampu meneruskan perjalanan. Dan ketika itu jugalah, Adib, sahabat serumah mereka tiba di situ.

"Sudahlah tu. Semoga ALLAH menerima ibadat dan pengabdian kita. Mana yang kurang, kita usahakan lagi dengan lebih bersungguh-sungguh," pujuk Adib, melihat sahabat-sahabat tercinta yang teresak-esak menangis. "Kita punya 11 bulan lagi untuk meneruskan mujahadah, untuk membuktikan bahawa madrasah Ramadhan yang kita lalui ini benar-benar melahirkan hamba yang sejati."

5 minit berlalu tanpa bicara. Hanya esakan tangisan kedengaran. Adib membiarkan sahabat-sahabatnya, membiarkan masa menjadi penenang, sebelum kembali membuka bicara.

"Kalian tahu tak, kalian sebenarnya sudah terlepas daripda bersama-sama meraikan peristiwa yang cukup menarik sebentar tadi di Masjid Jamiah Yarmouk. Selepas solat Isyak tadi, kita Melayu-melayu ni, diberi peluang untuk bertakbir raya seperti di Malaysia.

Kalian pun tahu kan, alunan takbir kita berbeza dari takbir arab, jadi zouqnya pun berbezalah. Mendayu-dayu. Tak serupa dengan arab yang penuh bersemangat. Dan takbir tadi diketuai oleh sahabat kita Muhaimi, Azam dan junior kita Faiz. Tambah meriah lagi, arab pun turut sama bertakbir versi Malaysia. Siap rakam lagi."

"Bertuahlah enta kalau macam tu," sampuk Ifwat.

"Ha...jangan bimbang, kalian berdua masih berpeluang nak jadi bertuah macam ana. Jom, sahabat-sahabat kita tengah tunggu kat depan Masjid Jamiah tu. Sekarang kita nak pergi bertakbir beramai-ramai ke rumah-rumah akhawat pulak. Ye la, mereka pun nak jugak merasai suasana malam raya macam kat Malaysia," balas Adib.

"Silap haribulan menangis la akhawat-akhawat nanti teringat kampung masing-masing," kata Udin, tersenyum.

"Jangan bimbang. Yang penting, lepas tu kita akan dihidangkan dengan biskut raya sebelum balik,"

"Haha. Enta ni memang. Jomlah kita gerak kalau macam tu."

0 Responses to "Terkenangku pada RamadhanMU 2"