Kisah benar cintaku pada si dia

I love U!

Berdegup kencang jantungku mendengar kalimah tersebut. Tidak kusangka sama sekali... Benarkah? Antara percaya atau tidak...

Rupanya, segalanya bermula sewaktu zaman persekolahan lagi. Tingkatan 5. Tika itu, kami menghampiri hujung tahun, dan semuanya akan berpisah tatkala tamatnya SPM. Luahan pertama darinya. Tetapi ianya berlaku di dalam bilik mesyuarat. "Kalau mencari teman, carilah teman seperti Hamdi." Masakan aku bisa menangkap apa yang dimaksudkan olehnya tatkala itu. Aku masih mentah, tambahan pula ucapannya itu di tengah ramai, di dalam bilik mesyuarat.
Dan sebelumnya, kami memang rapat. Segala masalahnya diluahkan kepadaku. Aku akan duduk di sampingnya, dan setia mendengar dia melontarkan keluhan hatinya, sehinggalah tenang jiwanya. Dan tenang jua jiwaku melihat dia kembali tenang. Barangkali inilah puncanya dia berkata sedemikian.

Di sekolah, dialah yang akan kucari untuk bersama. Dia banyak memberikan kata-kata nasihat, penuh berhikmah. Sememangnya berhikmah, kerana ia lahir dari mulutnya, seorang yang cukup aku hormati dek kewarakannya.

Dan kami tidak pernah berpisah, sehinggakan tatkala aku melanjutkan pelajaran ke luar negara, kami masih begitu rapat. Sering berjumpa. Jika bukan wajah masing-masing yang ditatap, maka cukuplah hati kami merindu.

Bicara kami bukan bicara biasa. Bagiku, itulah yang cukup menyeronokkan bersamanya. Bicara kami, adalah luahan hati ke hati. Sehinggakan, si dia pernah menitiskan air mata tatkala aku menjenguknya pada suatu hari. Bukan kerana aku memutuskan hubungan dengannya, tetapi kerana bicara kami. Luahan tulus dari hati.

Konflik memang menjadi rencah dalam hubungan kami, sejaki dahulu lagi. Tetapi kami tidak gentar, kerana segalanya disambut dengan tolak ansur.

Tetapi, benar, aku selalu terfikir. Ya ALLAH, apakah aku benar dalam bersamanya? Adakah tindakan aku ini tidak salah di sisi agamaMU? Tapi aku cintakannya ya ALLAH. Tunjukilah aku!

Di tengah detikan kesepian yang panjang di bumi Irbid, aku sering teringat kemesraan kami. Detik-detik gembira kami bersama. Aku merindukan semuanya. Masa sentiasa mencemburui kami tatkala kami bersama. Detik menjadi singkat. Aku selalu berharap dia di sisiku, agar terhapus kesepian ini. Agar hidupku penuh bererti.

Mengimbau kenangan lalu, aku selalu menemaninya ke pusat bandar untuk membeli-belah. Atau mungkin jugak, aku sebenarnya yang ditemani, kerana aku yang mengajaknya keluar. Tetapi antara yang cukup disukainya ialah tudung labuh. Beberapa kali kami ke Kota Bharu untuk membeli tudung labuh. Aku sememangnya suka pada dirinya yang berpegang teguh pada ajaran agama.

Keadaan itu berlanjutan sehinggalah pada suatu hari, dia berkata kepadaku. "Janganlah berasa segan denganku...", melihat aku yang sedikit kekok. Aku mula berasa kehairanan. Pernah, aku melihat di dalam diarinya tertulis, "Hamdi, teman ... terbaik". Adakah dia mempunyai perasaan yang sama sepertiku? Ya ALLAH, kumohon petunjukMU.


Sehinggalah pada suatu hari...

"I love U!"

Itulah ucapan yang kuterima daripadanya ketika aku sedang menunggu untuk menaiki kapal terbang untuk kembali meneruskan perjuanganku di bumi Jordan pada Februari 2009. Sebelum menaiki kapal terbang, aku mengambil kesempatan menghubunginya, bertanyakan khabarnya buat kali terakhir sebelum berlepas. Dan pada kesempatan itu jugalah dia meluahkan kalimah tersebut, membuatkan aku tak keruan.

Tiba di Irbid, hatiku selalu teringat akannya. Gambarnya yang di dalam simpananku sering aku tatap. Aku semakin yakin dengan perasaan ini. Cintaku padanya. Walaupun aku selalu juga terfikir, benarkah tindakanku di sisi Tuhanku?

Hidup ini aku rasa lebih bererti, lebih dihargai. Indahnya kurasa cinta ini. Detik-detik yang kulalui penuh bermakna. Selalu kuharapkan cintaku padanya adalah cinta yang diredhai ALLAH, mendapat payungan rahmat daripadaNYA.

Dan lebih indah ketika dia memberikanku semangat, tatkala aku jatuh ketika bertatih dalam perjuanganku. Tatkala aku lemas dalam arus deras. "Saya tak mahu kehilangan awak." Betapa terharunya aku mendengar bicara isi hatinya. Bimbang dia melihat aku yang semakin lemah, bimbang aku akan keluar dari perjuangan ini. Ya ALLAH, betapa aku hargai cintanya, betapa aku berasa gembira mengenal dia.

Tenang aku jika bersamanya. Dialah penyokongku yang membuatkan diriku yakin dalam bertindak, sumber aspirasiku yang membuatkan tindakanku berhikmah, jua pendorongku ke arah cinta Ilahi.


Kata-kata Imam As Syafie rahimahullah tentang si dia,

"Aku mencintai sahabat-sahabatku dengan segenap jiwa ragaku, seakan-akan aku mencintai sanak saudaraku. Sahabat yang baik adalah yang sering sejalan denganku dan yang menjaga nama baikku ketika aku hidup ataupun setelah aku mati.

Aku selalu berharap mendapatkan sahabat sejati yang tak luntur baik dalam keadaan suka ataupun duka. Jika itu aku dapatkan, aku berjanji akan selalu setia padanya.

Kuhulurkan tangan kepada sahabat-sahabatku untuk berkenalan, kerana aku akan merasa senang. Semakin banyak aku perolehi sahabat, aku semakin percaya diri."


~'Dia' adalah beberapa orang sahabatku yang dikasihi. Terima kasih sahabat!!!

Syeikh tua itu...

Salam

Tangan kirinya kemas memegang tongkat. Sudah tua orangnya. Janggut dan jambang memutih. Beliau bangun berdiri selepas solat maghrib di Masjid Tal.

Memang menjadi kebiasaan ada yang akan mengikhlaskan diri memberi tazkirah dan taujihat, atau membaca kitab2 agama usai solat fardhu, dan juga menjadi kebiasaan jemaah yang mendengarnya tidak begitu ramai. Tetapi malam ini agak berbeza. Agak ramai jemaah yang setia mendengar taujihat syeikh ini, walaupun jumlahnya surut sedikit demi sedikit seperti biasa.

Melihat pada orangnya yang sudah berumur, tua bertongkat, siapa sangka tertanam semangat seorang pemuda pejuang Islam. Berapi kata-kata semangat dan tazkirah yang disampaikan. "Kemenangan kita adalah dengan Islam! Kembalilah kalian kepada Islam! Pertolongan ALLAH bersama Islam! Janganlah jadikan kaum kafir dan munafiq sebagai 'auliyaa''! ..." Diselitkan dengan dalil-dalil daripada Kalam ALLAH AlQuran AlKarim. Keras dan kemas suaranya tegas. Seolah-olah yang menyampaikan taujihat itu tidak bertongkat, bahkan seorang pemuda tegap dan sasa.

Alhamdulillah. Termenung dan asyik mendengar taujihatnya. Jelas kembali rasanya kekaburan yang menyelubungi saya. Semangat yang menghilang entah ke mana terasa bangkit semula. Semangat yang saya perlukan untuk meneruskan perjuangan ini. Alhamdulillah.

Mungkin dek terasa segan kepadanya yang sudah berumur, tetapi mempunyai cinta kepada Islam yang membara, cinta yang dibuktikan. Mungkin juga kerana akal saya memproses apa yang disampaikan dengan baik, lantas jiwa saya mengait dan mencapai kembali semangat yang kian kabur dan luput. Tetapi yang penting, ianya adalah petunjuk. Dan petunjuk kepada kebenaran datangnya daripada ALLAH, walau bagaimana saya memperolehnya.

Alhamdulillah...Astaghfirullah...Subhanallah...
Pandulah hamba-hambaMU ini...

Untukmu AlQassam

Salam

Alhamdulillah, menusuk hati betul bacaan surah AlMa'aarij oleh Syeikh Hani Rifaie. Segar sedikit rasanya hati yang menggelap, ibarat pokok bunga disiram air. Bergenang titisan jernih membersihkan mata yang kabur. Mendapat semangat untuk meneruskan perjuangan, meniti hari-hari mendatang di Irbid, semoga terus dipayungi rahmat ALLAH, di mana sahaja kaki ini berpijak.

ALLAH sahajalah yang layak dipuji. HidayahNYA lah yang membuka hati manusia. Rentak hati yang keras, menjadi alunan yang lembut lagi menenangkan. Siapa yang tidak tenang dengan cinta ALLAH, dan siapakah yang pernah tenang dengan cinta dunia...

Sudah dua minggu saya di sini. Memilih untuk 'bermastautin' di rumah sahabat, bagi saya bukanlah pilihan yang paling bijak, tapi dek saya berasa terlalu lemah mengharungi hidup di sini. Tetapi ketahuilah ya ALLAH, bahawa hambaMu masih belum berputus asa dari rahmatMu.

Alhamdulillah, di rumah inilah dahulu saya mengutip mutiara-mutiara daripada Abu Hakim, orang yang cukup saya hormati. Masakan tidak, lihat sahajalah pada keperibadiannya. Seorang yang rendah diri, rajin, tawadduk. Banyak lagi. Tatkala mata-mata sahabat lain telah kuyu dek menghadap buku, sehingga akhirnya mereka 'gugur' begitu sahaja, Abu Hakim memilih untuk menyegarkan kembali matanya dengan manifestasi cintanya kepada Tuhannya. Solat beberapa rakaat, membaca AlQuran AlKarim. Dan ini bukan sekadar pilihannya. Inilah karakter beliau.

Setiap amalan dimulakan dengan menyebut nama ALLAH, dan tidak lupa diakhiri dengan puji-pujian bagi ALLAH. Memetik suis, mengangkat bakul, membasuh pinggan mangkuk. Semuanya. Subhanallah, patutlah Abu Hakim ni nampak hebat. Sebab orangnya memang hebat.

Sahabat seterusnya, Uthman. Seorang yang cukup hebat. Saya sendiri tidak pernah menyangka dapat berkenalan dengan orang yang sebegitu hebat. Ilmu memenuhi dada. Bahasa Arab, Hadis, AlQuran, dan banyak lagi. Tapi disebabkan minat saya terhadap Bahasa Arab dan Hadis, maka itulah yang menjadi tumpuan kami. Mustolahah, mu'jam dan sebagainya baru saya kenal. Rupanya ilmu ALLAH ni begitu sekali luasnya.

Seorang yang bercita-cita tinggi, yang saya rasa tak perlulah saya ceritakan di sini tentang cita-cita tersebut, sebab kalau saya cerita pun rasanya ramai yang tak faham. Dan sebab ramai yang tak fahamlah dia menghadapi sedikit kesulitan terhadap cita-citanya. Tapi yang penting, jika kalian bertanyakan sesuatu permasalahan dengannya, kalian akan memperoleh sesuatu yang baru.

Juga seorang yang suka bercerita. Lenguh minda saya mendengar dan menghafal cerita beliau (sebab saya cuma pendengar yang setia, saya jenis tak banyak cakap orangnya). Tapi berbaloi. Ada emas yang dapat digali.

Penghuni ketiga, Ibnu Zahari. Kawan saya semenjak sekolah rendah lagi. Tapi baru rapat di sini, di bumi Jordan. Seorang yang versatil. Pelajaran yang stabil, ilmu di dada juga tidak kurang. Cukup mahir mengejutkan yang tidur dengan cara penuh psikologi. Nak tau meh la tidur kat sini.

Juga sahabat yang disegani, serta mempunyai ciri-ciri pemimpin. Seorang penggerak penting dalam rumah ini. Disamping banyak kali saya dibedil pedas olehnya, dek sifat negatif yang terdapat dalam diri. InsyaALLAH dalam proses nak buang la ni wahai sahabatku Ibnu Zahari.

Yang menaip...tetap hamba yang dhaif. Masih tidak mengerti tarafnya pada pandangan Tuhannya. Masih merangkak dalam mendamba cinta Tuhannya. Masih kabur dengan pelbagai selubung. Masih dikejar bayang-bayang sendiri... Ya ALLAH

Berkenalan

Berkenalan dengan sedara-mara dan musuh - link

Meow...

Salam

Khusyuk itu milik ALLAH, Hamdi!

Seolah-olah begitulah teguran yang diberikan oleh ALLAH ketika solat isyak tadi. Tengah-tengah sembahyang isyak tadi, saya terfikir sekejap; "ni yang tak seronok pakai kain pelikat masa solat ni, nak qiam daripada sujud, mesti kain pelikat kena tindih dek jemaah sebelah, sampai nak terjatuh. Kan bagus pakai seluar macam kat Jordan, tak la khusyuk aku terganggu."

Qiam daripada sujud itu, tiba-tiba terus terasa kain pelikat ditarik. Saya sangkakan tiupan angin kipas besar di masjid Melor, jadi saya biarkan sahaja. Agak lama terasa kain ditarik, saya rasa pelik. Rupa-rupanya ada seekor kucing berjalan di celah kain pelikat saya.

Terus hati yang bongkak ini tunduk, terasa segan dengan Pencipta khusyuk dan Pencipta kucing tersebut. ALLAH. Seolah-olah ALLAH terus tegur, bahawa DIA yang memberi khusyuk itu Hamdi! Yang saya harap-harapkan itu. Malu. Malu. Malu. Astaghfirullah...

Melor

Salam


Keluar menilik hati manusia. Aku sedih dan kecewa menilik hati mereka di sini. Tidakku sangka Melor sebegini. Ataukah ia memang begini dari dulu, cuma aku sahaja yang tidak sedar dek berjalan seiring? Apa dah jadi pada akhawatnya? Syababnya aku tak berani harapkan.

Sedih melihat manusia. Ramai terpedaya dengan cinta. Cinta dunia, cinta harta, cinta berlainan jenis pada bukan jalannya. Kenapa perlu terpesong dalam bercinta? Sedangkan cinta itu indah, murni. Bagaimana mungkin aku jelaskan di sini. Aku melihat cinta pada banyak perkara. Dan aku melihat semuanya berpusat pada Pencinta Agung.

Baru aku sedar dunia di sekeliling. Doktrin-doktrin yahudi bersemarak dalam minda muda mudi. Bagaimana ia bisa masuk ke dalam masyarakat kita? Kalian jawablah sendiri. Almaklum. Tetapi yang menjadi kebimbanganku, adalah kesannya kepada pemuda pemudi Islam.

Bangsa Yahudi tahu, bahkan kenal benar akan Rasul akhir zaman, Nabi Muhammad SAW. Tahu, bahawa baginda benar seorang Rasul. Tetapi mereka gagal menerima hakikat bahawa nabi akhir zaman bukan dari bangsa mereka. Bangsa. Membesar-besarkan isu bangsa, sehingga rugi dunia dan akhirat. Sedangkan nilaian kita adalah pada agama. Mencorakkan dengan agama.

Lantas, doktrin-doktrin ini diciptakan. Manipulasi minda seluruh dunia. Seluruhnya. Media pastinya perlu bekerjasama, juga pihak-pihak lain di seluruh dunia, sama ada mereka sedar atau tidak. Penyumbang-penyumbang utama. Menutup kebenaran dari mata masyarakat. Bagaimana? Yang indah digambarkan buruk, yang keji digambarkan terpuji. Hedonisme adalah suatu keperluan.

Minda. Bukan kerja senang. Tetapi jika kalian memegang kepala-kepala kepimpinan dunia dan media, kalian bisa mencorakkan minda dunia. Bagaimana dunia bergerak. Bagaimana kalian ingin dunia ini menundukkan kepala ketika kalian mengangkatnya, bagaimana kalian mahu dunia memejamkan mata sedang kalian menyembelih leher mereka, sedang mereka rela, bagaimana kalian ingin mereka terpesong dengan telunjuk kalian. Minda mereka di tangan kalian. Siapa tahu helah di belakang mata.
Pastinya Malaysia turut terkena tempias. Buktinya, lihat sahajalah muda-mudi di sini. Mustahil rasional kalian berpendapat ini ajaran Islam, apatah lagi iman kalian. Peliknya, siapakah yang memegang minda rakyat Malaysia??? Hmm...

Jadi, minda inilah yang perlu dicuci. Sebagaimana Rasulullah SAW datang membawa Islam menunjukkan jalan, maka itu jugalah keperluan masyarakat kini. Mereka perlukan Islam membangun minda dan jiwa, bukan memerlukan bangunan untuk terus bercereka sesat di dunia.

Sahabat saya ada menyebut, "aku melihat potensi pada semua orang". Aku yakin, pasti penghuni Melor masih berpotensi, cuma perlu ditunjukjelaskan jalan kepada mereka. Jalan yang sama yang ditunjukkan oleh baginda Rasulullah SAW.

Tapi persoalannya tetap besar bagiku ya ALLAH. Bagaimana akan kucuci minda mereka dengan celupanMU? Bantulah aku ya ALLAH, mampukanlah aku.

Antara Tenang dan Gembira


Salam

Alhamdulillah, kali ini dah masuk kali kedua saya pulang ke tanah air dalam tempoh belajar di luar negara. Sudah dua jenis penerbangan saya naiki, bermakna sudah dua jenis ragam, dan dua jenis masalah.

Hah, biarlah mereka. Lagipun memerhatikan ragam manusia memang salah satu perkara yang menarik minat saya. Seronok melihat bagaimana manusia memberi respond kepada persekitaran. Kadang-kadang, seorang manusia, satu peristiwa, tetapi berbagai-bagai tafsiran dan tindak balas. Mana yang elok, boleh diambil dan diterap dalam diri. Mana yang tidak elok, kita ubah menjadi positif.

Terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata beberapa orang sahabat dan saudara-mara. "Bertuah kamu Di, dapat belajar oversea. Jordan pulak tu. Balik nanti jadi syeikh la. Alang-alang carilah sorang syeikhah arab". Tuut.

Entahlah. Alhamdulillah, memang tidak dapat saya nafikan saya sangat bersyukur dapat belajar di Jordan, sebab sudah banyak yang saya peroleh. Talaqqi dengan Syeikh Uqbah, kelas tajwid Markaz Huda, biah 'bergerak' dan macam-macam lagi. (Ayat terakhir perenggan kat atas tidak akan disyarahkan di sini, harap tidak timbul kontroversi...) . Negatifnya ...

Malam itu saya terbang pada kelajuan purata 750 km/jam. Dek saya sudah letih berlatih lari pecut, tetapi tidak pernah menang tempat pertama, jadi saya fikir elok saya mengalah. Saya berlatih terbang. Alhamdulillah, inilah hasil usaha saya, pada percubaan kedua. Mungkin kalian tidak percaya, tetapi saya yakin, sebab cikgu fizik saya ajar macam ni, mengikut hukum fizik.

Memasuki ruang udara Malaysia, saya rasa cukup seronok. Tetapi yang lebih seronok, tatkala saya duduk pada kelajuan 80 km/jam memasuki wilayah Kelantan. Alhamdulillah. Tenang dan gembira.

Antara Tenang dan Gembira

Masuknya saya ke wilayah Kelantan, adakah yang dirasai hati ini merupakan rasa tenang kerana rindu Tuhan atau hanya sekadar gembira menikmati tanah air sendiri?

Kedua-duanya. InsyaALLAH. Bagi saya, di wilayah Kelantan, hati saya lebih tenang. Masuk sahaja ke wilayah ini, hati saya sudah dapat merasai perbezaannya. Mogamoga yang dirasai itu adalah berkatnya negeri Kelantan. Amin.

Dan sememangnya saya gembira. Siapa yang tidak gembira dapat kembali kepada CINTAnya, tenangnya, kembali kepada keluarganya, kepada suasananya, dan dapat merenggangkan diri dari masyarakat Arab...(sesetengah mereka). :-)