Hati yang 'baru'. Blog ini?

Salam

Alhamdulillah, perit tahun 2 berakhir baru-baru ini dengan langkahan baru ke tahun 3. Dengan semangat baru alhamdulillah.

Sememangnya saya suka pulang ke Malaysia. Kepulangan ke Malaysia ibarat mengecas kembali iman... Kesibukan di Irbid, dengan pelbagai masalah yang saya timbulkan sendiri, menyebabkan saya kerap kembali ke Malaysia. Tambahan pula ada kerja yang perlu dilakukan.

Hati yang 'baru'. Segalanya telah dilepaskan ketika pulang bercuti di Malaysia hari raya baru-baru ini. Kini saya rasa bebas, bebas dengan kemahuan saya sendiri mendalami agama ALLAH, mencari cintaNYA. Dengan cara saya sendiri berbakti untuk agamaNYA. Hanya mencari redhaNYA dalam setiap amal. Memulakan amal dengan niat yang betul dan ikhlas, dan menyempurnakannya tanpa mencalarkannya.

Walaupun kekadang karat-karat hati yang masih ada cuba menyerlahkan diri, namun insyaALLAH, saya akan cuba berdiri dan kekal istiqamah dengan saya sekarang. Semoga ALLAH membantu saya dan sahabat-sahabat.

cuti...

Blog ini berehat...untuk selamanya. Dengan hati yang baru ini, ingin sekali saya mulakan perjuangan saya di atas jalan yang baru. Yang masih putih. Yang belum saya kotori dengan lumpur zaman silam. InsyaALLAH saya akan mulakan blog baru, dengan ID baru. Kalau nak tau alamat blog saya...hmm...

Terima kasih kepada semua dan jutaan kemaafan dipinta. Kepada ALLAH dikembalikan segala urusan. Salam.

Mereka yang menghairankan

Salam



Aku berasa hairan melihat mereka
mereka yang mengaku berjuang
mereka yang meletakkan diri dalam saf perjuangan
kata mereka.


Aku berasa hairan
mereka mengaku berjuang
mengurus manusia di sana sini
tetapi diri sendiri tidak terjaga
menyeru manusia mendekati Ilahi
tetapi mereka menjauhi
couple suatu kebiasaan
ikhtilat
ke mana hati mereka sebenarnya
pada seruan atau tipuan
pada Tuhan atau wanita
bagaimana mengisi dunia dan akhirat menjadi satu
bagaimana mereka mencampurkan keduanya
atas tingkah mereka itu
hairan...


Aku berasa hairan
mereka mengaku berjuang
menyeru manusia memperbaiki diri
sedangkan diri mereka sendiri...
kebersihan sebahagian daripada iman...gagal
bilik bersepah, rumah berselerak, pakaian ditimbun bertimbun
bagaimana mereka menyeru manusia menanam mujahadah,
sedangkan mereka punyai cangkul yang patah
hairan...


Aku berasa hairan
mereka mengaku berjuang
menyeru manusia ke arah solat
solat tiang agama
memalukan...gigi pun malas digosok...menguning
sedangkan seruan Baginda Rasul SAW supaya bersugi setiap kali solat
bagaimana mereka mampu menyeru manusia menyelami lautan
sedang mereka telah gagal di permukaan
hairan...


Aku berasa hairan
mereka mengaku berjuang
memikirkan masalah umat
tapi berat bertindak
malas bergerak
cinta kepada rehat
bersenang-senang
hairan
apa yang difikirkan...
hairan...


Wahai pejuang...atas keremehan apakah yang membuat kalian terkebawah???

Wahai pejuang...andai kalian berani mengaku berjuang
renungilah Ramadhanmu
adakah kamu mendakapnya
atau hanya sekadar bertemu mata

Berbuka puasa di Markaz Aitam


Salam

'Majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim di Markaz Aitam. 2 September 2009, jam 6.00 petang. Sesiapa yang berminat boleh beri nama kepada ....(PECI). Penyertaan hanyalah untuk 22 peserta sahaja.'

Begitulah lebih kurangnya mesej yang diterima dalam ym saya. Memandangkan sudah hampir setahun tidak melawat Markaz Aitam, saya mengambil keputusan untuk turut sama dalam majlis tersebut.



Markaz Aitam

Markaz Aitam merupakan tempat penjagaan anak-anak yatim. Markaz yang terletak di Mukhayyam Irbid ini, dibina dan beroperasi untuk menjaga kebajikan anak-anak yatim, oleh 'ahlul kheir'. Di sini mereka diberi kemudahan sepertimana kanak-kanak lain; akademik, ilmu hadis, menghafaz alQuran dan lain-lain.

Hubungkaitnya Markaz Aitam dan pelajar Malaysia di sini? Alhamdulillah, dengan rezeki yang melimpah yang dikurniakan oleh ALLAH, sebahagiannya disalurkan oleh pelajar-pelajar Malaysia untuk kebajikan anak-anak yatim di sini. Dengan peruntukan lebih kurang 30 dinar bagi seorang anak yatim (kalau tak silap saya), pelajar-pelajar Malaysia dibahagikan kepada beberapa kumpulan. Ada kumpulan yang memberi sumbangan cukup untuk menampung seorang anak yatim, dan ada yang lebih.


Memulakan perjalanan

Agak menyedihkan. Patutlah Presiden PERMAI sesi ini cukup menekankan bab masa. Menepati masa. Melabelkan orang yang tidak menepati masa sebagai PENGKHIANAT MASA. Disebabkan kelewatan kita, maka majlis bermula lewat. Sebab kita, masa mereka yang datang tepat pada masanya terbazir begitu sahaja menunggu kita. Mereka pula yang menjadi mangsa.

Coaster yang akan membawa kami ke sana pula sudah sampai jam 6.00 petang lagi, dan kami juga akan bertolak jam 6.00 petang sepatutnya. Kerana kita menjadi pengkhianat masa, coaster terpaksa menunggu selama setengah jam. Kesian Abu Khalil. Ape la yang difikirkan tentang melayu. Kita sesuka hati melabelkan arab tidak menepati masa. Memang hakikat ini tidak dapat dinafikan. Tetapi cermin-cerminlah diri kita. Benarkah kita bercakap dan bertindak dengan rasional atau cuma penuh emosi?


Markaz

Alhamdulillah, segalanya begitu menyeronokkan. Berjumpa dengan adik-adik, makan bersama. Kami berbuka dengan kurma, kemudian solat. Selepas itu baru makan nasi. Sedap rasanya nasi tersebut. Tambah pula berkat makan beramai-ramai.

Selesai makan, kami dijemput duduk di dalam dewan. Saya sangkakan ada ceramah ringkas, tapi sebenarnya ada sedikit game. Part ni paling menyeronokkan, tengok gelagat pelajar Malaysia main game dengan anak-anak yatim kat sini. Nama game tersebut, 'Salatoh', maksudnya, sayur campur. Game yang simple, tetapi cukup menarik dan menghiburkan. Macam mana game tersebut? Hmm...

(Gambar: Abang Afifuddin dan abang Fadhil dengan gaya yang menghiburkan bermain game 'Salatoh')

Selepas itu ada satu lagi slot game. Meniru aksi. Game yang memerlukan kecekapan otak dan anggota badan. Hubung kait antara otak dan pergerakan. Alhamdulillah, hasil daripada game ni...la tahzan. Dapat sebuah buku 'La Tahzan', setelah saya berjaya meniru aksi instructor game tersebut.

Alhamdulillah, hari yang menyeronokkan. Keakraban pelajar Malaysia dengan anak-anak yatim dapat dirasakan. Ada pujian yang dilontarkan menyatakan mantapnya majlis berbuka pada kali ini. Credit to Anas yang comel.

Virus yang menguatkan


Salam

(entry ringan sementara meniti hari-hari, membilang detik-detik kepulangan ke tanah air...insyaALLAH)


"Anything that doesn't kill you, will make you stronger."

Saya tersenyum. Betul juga apa yang Professor Ziad cakap ni. Tapi tu kalau tak mati... kalau mati?

"If the virus didn't kill you, then you will develop antibody against it. Musy heik? And if the same antigen enters your body again, the antibody will recognize it, and you will not get the same infection."

Aa... Baru nampak. Saya tersenyum lagi. Hehe.

Betullah apa yang dikhabarkan oleh Prof. Ziad, professor subjek Immunology kami untuk semester soifi ni.


Dah berbulan lamanya tidak mengupdate blog. Sibuk? Entahlah. Mungkin imtihan, mungkin 2nd year. Tapi kelemahan diri sendiri tidak dapat dinafikan.


Kepercayaan

Tidak kiralah sebagai sesiapa pun. Pemimpin, sahabat, suami, isteri, masyarakat. The same rule applies. If that anything doesn't kill people, then it will make us stronger. Begitu juga dengan kepercayaan. Andai ditakdirkan perselisihan berlaku antara dua hati, lantas kepercayaan dan kasih sayang teruji, sama ada antara adik beradik, suami isteri mahupun sahabat baik, jika ia tidak 'membunuh' hubungan tersebut, maka ia pasti akan membuatkan ikatan tersebut menjadi semakin kukuh.

Dan dengan ujian Tuhan. Cuma bezanya, ujian Tuhan tidak sesekali akan 'membunuh' kita, kerana firmanNYA yang bermaksud,


"ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala (dari kebajikan) yang diusahakannya dan ia mendapat siksa (dari kejahatan) yang dikerjakannya" (al-Baqarah; 286)


Bahkan ujian dari ALLAH adalah untuk menguatkan hambaNYA, zahir dan batin. Namun kesannya terletak pada ikhtiar hambaNYA, sama ada mereka memilih untuk bersabar ataupun mengalah dan tersungkur.


"Dan sungguh akan Kami berikan cobaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar" (mafhum surah al-Baqarah, ayat 155)


Ramadhan

Alhamdulillah, tangan-tangan amal bertambah pada bulan yang penuh keberkatan ini. Tabung infaq juga semakin berisi. Ada sebuah masjid yang tergendala pembinaannya, dan gambar masjid itu dibawa bersama oleh orang yang memohon sumbangan di Masjid Jamiah Yarmouk ketika solat jumaat. Dan pada bulan Ramadhan ini, petugas tersebut selalu ada sewaktu solat terawih, menyedari sifat pemurah masyarakat di bulan ini. Semoga cepatlah siap masjid tersebut dan dipermudahkan segala urusan.

Cuma agak membimbangkan, zouqnya Ramadhan tahun ini kurang kurasai. Walaupun awalnya saya sambut dengan salam kepada kekasih dan kerinduan penuh kecintaan, tapi akhir-akhir ini nikmatnya seolah menyembunyikan diri. Ataukah saya yang bersembunyi. Tapi tidak dinafikan, kesibukan menghadapi imtihan 2nd year yang berbeza dengan 1st year agak mengekang diri.

Tetapi syukur alhamdulillah, tahun ini dapat mendengar suara yang sama lagi. Kecintaan pada suara dan alunannya adalah salah satu tangan yang mengangkat diri ini bangun ketika jatuh, salah satu sebab dan kekuatan saya untuk terus berdiri di sini. Alunan ayat2 suci al Quran oleh Syeikh Ma'moun, imam Masjid Jamiah Yarmouk. Kelunakan bacaannya membuai leka jiwa-jiwa yang berdiri lama dalam solat terawih. Kerinduan pada bacaannya menghiasi malam-malam di bulan Ramadhan.


Hati dan karat

Teringat akan pesanan yang pernah saya beri kepada seseorang.

"Dalam mencari ilmu, berzikir, beribadat dan sebagainya, hati akan terbakar, bertanya bila nak habis zikir ni, tanda kita lemah, hati kita ada something wrong. Tapi jgn cepat putus asa. Itu adalah cara ALLAH sucikan hati kita. Umpama besi yang bercampur dengan unsur2 lain, yang dipisahkan menjadi besi tulen dengan dibakar, maka begitulah halnya hati. Teruskan istiqamah 'bakar' hati dengan amalan2 tu, sehingga ia menjadi sekeping hati yang betul2 suci dari segala debu2, karat."

Undilah dia...

Create your own banner at mybannermaker.com!


Salam

Tidak subur pohon yang sakit.

Kita dalam rangka membina aqidah yang salim (sejahtera), sebagai salah satu ciri individu muslim. Betapa pentingnya kesejahteraan aqidah, sehingga diperuntukkan dakwah Rasulullah SAW selama 13 tahun. Lebih daripada separuh tempoh dakwah baginda SAW di Mekah dan Madinah.

Hasilnya hati-hati yang mudah menerima pensyariatan. Tatkala diturunkan perintah supaya meninggalkan meminum arak, botol-botol arak dipecahkan. Tiada yang menipu diri sendiri dengan yang kononnya hak asasi ketika umat Islam diajarkan pecahan pembahagian pusaka. Juga kepatuhan wanita tatkala diperintahkan melabuhkan tudung. Semuanya hasil dari iman yang mantap, mengenal Tuhan dan mengerti hikmah dalam suruhan dan laranganNYA.

Hati-hati inilah yang kita mahukan. PERMAI perlukan. Hati-hati yang kamu mahu supaya memenuhi program, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya memberi komitmen meninggikan nama PERMAI, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya memaksimumkan potensi, maka hati-hati inilah. Hati-hati yang kamu mahu supaya mempermaikan PERMAI, maka hati-hati inilah.

Hati yang mengenal Tuhan.

Maka apakah keutamaan yang perlu dipandang serius dan disegerakan oleh pemimpin? Dasar. Akar dalam Islam adalah aqidah. Andai akar ini sihat dan kuat, maka hasilnya pastilah merefleksikan yang seiring.

Akan tetapi, andai akar ini tidak sihat, maka taburlah baja apa sekalipun; baja mengantarabangsakan ahli dan persatuan, baja anti-ikhtilat dan sebagainya, sia-sia. Membazir masa, wang dan tenaga. Tidak subur pohon yang sakit.

Maka dengarlah harapan kami wahai pemimpin, kerana kamu bertanggungjawab ke atas kepimpinan kamu. Ke atas kami. Bimbinglah kami ke syurga bersamamu, dengan kuasa yang kau peroleh, dengan cara yang kau gerakkan. Dengan akalmu yang bijak. Dengan lisanmu yang petah. Antarabangsa mahupun setempat, besar mahupun kecil, ramai mahupun sedikit, ke syurga jua hujung jatuh harapan terakhir.

ROQS 2009 - IRBID



59 tahun lalu...


59 tahun lalu...seorang gadis akan dibawa ke Belanda, dan akan dimurtadkan.

9 Julai 2009. Bertha Hertogh, atau Natrah, meninggal dunia pada usia 72 tahun akibat leukemia.

Ya ALLAH, menyayat hati membaca kisah berusia lebih 50 tahun ini. Demi menyelamatkan AQIDAH seorang gadis Belanda, dan demi maruah Islam, masyarakat ISLAM berkumpul melakukan rusuhan. Keputusan dijatuhkan mahkamah, bahawa mengikut undang-undang Belanda , seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Natrah ketika itu baru berusia 13 tahun.


Mulanya...

Natrah diserahkan kepada Che Aminah, peniaga kain di Jawa yang berasal dari Terengganu ketika berumur 5 tahun oleh ibu dan neneknya kerana bimbang akan keselamatannya. Ayahnya sewaktu itu berada dalam tahanan Jepun, tidak mengetahui tentang perkara ini.

Namun, setelah ayahnya dibebaskan, dia mencari kembali anaknya, dan akhirnya dijumpai. Setelah beberapa kali perbicaraan mahkamah, akhirnya kemenangan berpihak kepada ayahnya, berpandukan undang-undang Belanda yang dinyatakan di atas.

Apakan daya Che Aminah. Anak yang dijaganya sejak berusia 5 tahun, diasuh dalam suasana agama, akan diambil kembali daripada jagaannya. Untuk dimurtadkan! Pasti luluh hati ibu yang sarat dengan rasa cinta ini.

Betapa umat Islam bersatu, mempertahankan 1 jiwa daripada dimurtadkan. Mempertahankan maruah Islam dari dipijak-pijak. Rusuhan membawa kepada terkorbannya beberapa Muslim, dan ratusan lagi cedera.

Ini kisah lebih 50 tahun lalu. Kisah kesatuan umat Islam. Kisah sensitiviti umat Islam. Kisah cinta Che Aminah, Mansor Adabi dan masyarakat Muslim.

Di mana kesatuan umat Islam hari ini? Dan murtad, suatu isu semasakah?

~ Artikel ini hanyalah suatu ringkasan dari pandangan penulis, kronologi hidup Natrah boleh dilihat di sini , dan ulasan lebih menarik di sini; berita harian, 1, 2, 3, 4 dan 5 (pengajaran). (ALLAH sahaja yang mengetahui kesahihan dan segala yang tersirat)